Aiman buru dua gelaran

PELUMBA sensasi Terengganu Cycling Team, Nur Aiman Rosli memasang tekad mempertahankan gelaran kebangsaan pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan, 26 hingga 28 Jun ini.

Jaguh kelahiran Tangkak, Johor itu mahu terus mengukuhkan status raja ujian masa individu (ITT) selepas mendominasi acara berkenaan sejak 2019.

Aiman membuktikan kayuhan konsistennya apabila merangkul gelaran kebangsaan keenam dalam acara ITT tahun lalu.

Namun lebih manis buat pelumba berusia 27 tahun itu apabila akhirnya berjaya menamatkan penantian menjulang gelaran perlumbaan lebuh raya di laman sendiri musim lalu.

Walaupun venue kejohanan tahun ini masih belum diumumkan, Negeri Sembilan dan Melaka dilihat berpotensi menjadi pilihan dengan laluan berbukit landai yang sesuai dengan karakter kayuhannya.

“Sasaran saya sudah tentu mahu jadi juara, kalau boleh kedua-dua acara iaitu ITT dan perlumbaan lebuh raya,” katanya.

Menurut Aiman, dia berharap kejohanan dapat berlangsung di Melaka kerana permukaan jalan yang lebih ‘rolling’ tanpa terlalu banyak pendakian curam mampu memberi kelebihan kepadanya.

Dia pada masa sama menegaskan latihan intensif akan diteruskan bagi memastikan tahap kayuhan berada di prestasi terbaik menjelang saingan itu nanti.

Dalam masa itu, Aiman menjelaskan skuad TSG tidak akan bekerja untuk seorang pelumba sahaja kerana strategi pasukan bergantung kepada siapa yang mempunyai peluang terbaik pada hari perlumbaan.

Gaya kayuhan agresif dan keberaniannya melancarkan 'attack' pada Le Tour de Langkawi musim lalu terus memikat peminat, termasuk aksi solonya sejauh kira-kira 20 kilometer pada peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini yang menghadiahkannya tempat kedua.