KEHADIRAN lebih 1,000 orang penyokong ketika perlawanan AFF Women's Cup 2026 antara pasukan Malaysia dan Laos membuktikan bola sepak wanita kini semakin mendapat tempat di kalangan para penyokong.
Senario bola sepak wanita yang semakin meningkat di Malaysia terutama dengan kewujudan Liga Wanita Nasional dan kini Liga Puteri dilihat semakin mempopularkan sukan itu dengan sokongan padu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.
Pemain-pemain wanita negara juga mengambil perkara ini sebagai sesuatu yang positif dengan mempamerkan aksi mantap meskipun terpaksa berpuas hati diikat Laos pada aksi pembukaan Kumpulan A.
Gol tunggal Hadfina Firdaus pada babak kedua berjaya menggegarkan stadium dan ini adalah kali pertama kejohanan wanita mendapat perhatian yang mana turut diakui pengendali pasukan, Joel Corneli.
Corneli yang ditemui ketika sidang media selepas perlawanan kagum dengan sokongan yang diberikan terutama ketika anak-anak buahnya ketinggalan satu gol pada babak pertama.
"Kami gembira dan berpuas hati melihat reaksi penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan terutama ketika kami ketinggalan dan dapat merasakan semangat dari penyokong.
"Inilah sebabnya kami mahukan kejohanan seperti ini di Malaysia kerana mahu memberikan keyakinan kepada pemain bahawa mereka mempunyai penyokong dan kami berusaha untuk memberikan persembahan terbaik buat penyokong pada perlawanan akan datang," katanya.
Perkara sama turut diakui kapten pasukan, Ainshah Murad yang melihat sokongan penyokong sebagai pembakar semangat meskipun sedikit kecewa kerana tidak dapat memberikan kemenangan.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang meluangkan masa hadir ke stadium dan kami berjanji akan memberikan persembahan lebih baik pada aksi menentang Singapura," jelasnya.
Skuad wanita kebangsaan kini berkongsi satu mata dengan Laos dan aksi bertemu Singapura pada Khamis hadapan dengan kemenangan akan menjamin laluan ke separuh akhir.