PERSATUAN Bola Keranjang Putrajaya (PUBA) mengiktiraf peranan besar penaja dan rakan strategik yang menjadi tulang belakang pembangunan bola keranjang wilayah itu, pada majlis meraikan ulang tahun ke-10 PUBA.
Majlis Makan Malam Gala Ulangtahun ke-10 itu berlangsung meriah dengan penuh muhibah, menghimpunkan pemain, jurulatih, pegawai, penaja, rakan strategik serta pemimpin komuniti bola keranjang.
Turut hadir Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock yang turut menyeru sokongan berterusan dari sektor korporat dan komuniti, menjadi pemangkin kepada kejayaan persatuan seperti PUBA dalam melahirkan lebih ramai pemain berbakat di peringkat akar umbi.
Presiden PUBA, Mohd Haniff Ab Razak berkata, kejayaan persatuan sepanjang sedekad lalu bukan dibina oleh individu, sebaliknya lahir menerusi sokongan padu seluruh ekosistem bola keranjang.
"Kejayaan PUBA bukanlah hasil usaha individu, tetapi lahir daripada semangat berpasukan, kepercayaan dan komitmen semua pihak," katanya.
Beliau berkata, PUBA akan terus memperkukuhkan pembangunan pemain, melahirkan lebih ramai jurulatih dan pegawai berkualiti selain menjadikan Putrajaya sebagai antara hab pembangunan bola keranjang terbaik di negara ini.
"Kami akan terus memperkukuhkan pembangunan pemain, melahirkan lebih ramai jurulatih dan pegawai berkualiti serta menjadikan Putrajaya sebagai antara pusat pembangunan bola keranjang terbaik di negara ini," katanya.
Mohd Haniff berkata, antara fokus dua tahun akan datang ialah memperluaskan program pembangunan akar umbi, memperkukuh kerjasama dengan sekolah dan institusi pendidikan serta membawa lebih banyak kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa ke Putrajaya.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada penaja, rakan strategik, sukarelawan, pemain, jurulatih, ibu bapa dan organisasi yang banyak menyumbang kepada pembangunan bola keranjang Putrajaya sepanjang 10 tahun lalu.
Dengan semangat Unity, Passion & Excellence, PUBA mahu meneruskan momentum membina lebih ramai pemain bertaraf kebangsaan sekali gus memperkukuhkan lagi landskap bola keranjang Malaysia.