THAILAND tidak melakukan rombakan besar seperti yang digembar-gemburkan apabila masih mengekalkan sebahagian besar pemain sama bagi menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF di Kuala Lumpur bermula Sabtu ini.
Pengurus skuad negara Datuk Abu Jimi Samat berkata, senarai pemain Thailand hampir serupa dengan skuad yang beraksi di Sukan SEA Thailand Disember lalu.
Menurutnya, beberapa tonggak utama yang sering menghantui Malaysia masih dikekalkan termasuk tekong berbahaya Sittipong Khamchan dan Kritsanapong Nontakote.
Malah, perejam utama mereka, Pichet Pansan turut terus diberi kepercayaan sekali gus membuktikan Thailand masih bergantung kepada kombinasi berpengalaman.
“Kalau tengok senarai mereka, pemainnya hampir sama seperti yang kita hadapi sebelum ini dan satu-satunya perbezaan besar ialah ketiadaan Siriwat,” katanya.
Selain itu, Thailand turut mempertaruhkan nama seperti Jakkrit Thinbangbon, Kritsada Sungvung dan Pornthep Tinbangbon sebagai tekong untuk memperkukuhkan cabaran mereka di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Abu Jimi menegaskan Malaysia tidak boleh terlalu yakin walaupun skuad negara berjaya menewaskan Thailand pada Piala Dunia 2024, Piala Asia dan Sukan SEA Disember lalu.
Katanya, kekuatan sebenar Thailand masih terletak pada servis pertama menyebabkan benteng pertahanan negara perlu berada pada tahap terbaik sepanjang kejohanan
“Kalau kita boleh menerima servis mereka dengan baik, peluang kita akan lebih cerah sebab semuanya bermula daripada pertahanan,” katanya lagi.
Malaysia yang muncul juara acara antara regu dan beregu pada edisi lalu (2024) kini memasang impian besar untuk mara ke final dalam tiga kategori iaitu antara regu, regu berpasukan dan kuadran di hadapan penyokong sendiri.