PENDAKIAN sulung ke puncak Gunung Jerai bakal menjadi pembuka tirai sebenar perebutan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 apabila laluan baharu itu dijangka terus menggoncang kedudukan pelumba seawal Peringkat 2.
Cabaran berkategori 1 yang menawarkan 15 mata Raja Bukit serta masa bonus itu dijangka memaksa semua pencabar utama mengeluarkan kekuatan sebenar lebih awal dalam misi memburu Jersi Kuning dan Jersi Raja Bukit.
Jika Gunung Jerai menjadi pentas amaran pertama, dua penamat di puncak berstatus Hors di Cameron Highlands pada Peringkat 4 dan Genting Highlands pada Peringkat 5 pula dijangka menjadi medan penentu siapa benar-benar layak bergelar juara keseluruhan.
Gabungan tiga penamat di puncak itu sekali gus meletakkan edisi ke-30 LTdL sebagai antara laluan paling mencabar pernah diperkenalkan sepanjang sejarah perlumbaan berprestij Asia itu.
Ketua Pegawai Operasi LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, pihak penganjur sengaja memperkenalkan pendakian Gunung Jerai bagi meningkatkan intensiti perlumbaan selepas laluan berbukit pada edisi terdahulu dilihat kurang menguji kemampuan pendaki tulen.
Menurutnya, laluan sejauh 145.6 kilometer dari Taiping ke Gunung Jerai yang berketinggian 971 meter dari aras laut dijangka memecahkan kelompok pelumba sebaik memasuki pendakian terakhir selepas zon pecutan di Gurun.
Beliau berkata, tiga penamat di puncak itu menjadikan kedudukan keseluruhan sukar diramal kerana perubahan besar dijangka berlaku selepas Peringkat 2, 4 dan 5 sebelum perlumbaan menuju penamat di Putrajaya.
Secara keseluruhan, LTdL26 menawarkan dua pendakian Hors, satu Kategori 1, satu Kategori 2, empat Kategori 3 dan satu Kategori 4 sepanjang laluan sejauh 1,258.5 kilometer yang pasti menguji ketahanan fizikal serta strategi setiap pasukan.
Faktor itu dijangka mempengaruhi pemilihan enam pelumba setiap pasukan, dengan kebanyakan pasukan profesional dijangka mempertaruhkan sekurang-kurangnya tiga pendaki tulen bagi menguasai laluan berbukit serta mengukuhkan peluang memburu gelaran individu dan berpasukan.
Perlumbaan berstatus UCI ProSeries yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober itu bukan sahaja menjanjikan aksi mendebarkan di tiga puncak ikonik negara, malah berpotensi melahirkan seorang Raja Bukit baharu yang benar-benar diuji di medan paling sukar dalam sejarah Le Tour de Langkawi.