FENOMENA Tarung bukan hanya berlaku di pawagam, malah turut 'meletup' di sosial media termasuk TikTok, Threads dan Reddit.
Ada yang berkongsi teori tentang dunia “MARGA”, ada juga yang memuji visual filem ini yang dikatakan setanding filem aksi luar negara.
Sejak trailer pertamanya dilancarkan, filem ini terus mencuri perhatian ramai kerana gabungan aksi 'keras', visual sinematik yang gelap dan jalan cerita penuh emosi. Malah ramai netizen menganggap filem ini antara karya aksi tempatan paling berani untuk tahun 2026.
Kisah utamanya berkisar tentang Hatta, seorang bekas juara silat yang cuba melarikan diri daripada masa silamnya. Namun keadaan memaksanya kembali ke gelanggang haram demi menyelamatkan keluarganya. Dalam perjalanan itu, dia perlu berdepan musuh lama, konflik dalaman dan harga sebuah penebusan dosa.
Satu lagi sebab kenapa filem ini menjadi viral ialah gabungan pelakon popular yang disatukan dalam satu cerita. Antaranya ialah Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Zul Ariffin dan Bront Palarae.
Ramai penonton memuji chemistry antara pelakon legend dan pelakon baru, terutama babak pertarungan yang nampak lebih realistik dan kasar berbanding filem aksi tempatan biasa. Koreografi aksi dalam filem ini juga dikatakan lebih matang dan mempunyai pengaruh gaya sinematik antarabangsa.
Kejayaan awal Tarung: Unforgiven menunjukkan bahawa penonton Malaysia sebenarnya dahagakan filem aksi tempatan yang berkualiti dan mempunyai identiti sendiri.
Penonton hari ini bukan sekadar mahu aksi semata-mata, tetapi juga jalan cerita yang berat, visual yang cantik dan watak yang mempunyai emosi mendalam.
Lebih menarik, pelakon dan penerbitnya sendiri, Aedy Ashraf, turut menjadi perhatian apabila beliau melayan peminat secara terbuka di media sosial dan menunjukkan penghargaan terhadap sokongan penonton. Malah seorang rakannya sanggup menempah lima dewan pawagam dan menghadiahkan 1,000 tiket percuma kepada peminat filem tersebut.
Bagi peminat filem aksi, Tarung: Unforgiven mungkin antara filem yang wajib ditonton tahun ini kerana ianya bukan sekadar kerana aksi mantap, tetapi kerana ia membawa mesej tentang maruah, keluarga dan perjuangan hidup dalam gelanggang dunia sebenar!.
