TIGA pingat emas sudah digenggam skuad angkat berat negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026, namun Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mahu kejayaan itu dijadikan titik tolak untuk memperkukuh sistem sokongan atlet, khususnya membabitkan pengurusan makanan tambahan.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata sasaran awal yang ditetapkan sebelum temasya bermula, berjaya direalisasikan sekali gus membuktikan atlet negara memiliki kemampuan untuk muncul juara di pentas antarabangsa.
"Alhamdulillah, sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula telah berjaya dicapai, tahniah kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai yang telah berkorban masa, tenaga dan menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang tempoh persiapan sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Komanwel," katanya, dalam kenyataan media yang diedarkan.
Beliau berkata pencapaian itu mengesahkan angkat berat mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara penyumbang utama pingat negara di Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan seterusnya Sukan Olimpik.
Dalam keterujaan meraikan kejayaan itu, Ayub turut melahirkan rasa terkilan terhadap beberapa tindakan Institut Sukan Negara (ISN) pada saat akhir menjelang temasya yang didakwa memberi tekanan kepada atlet ketika mereka berada dalam fasa paling kritikal.
"Setiap keputusan yang melibatkan kebajikan atlet, khususnya berkaitan makanan tambahan, prestasi dan sokongan sains sukan, perlu dibuat secara lebih terancang, teliti dan berdasarkan bukti saintifik serta melalui perbincangan bersama persatuan sukan kebangsaan dan pasukan kejurulatihan," ujarnya.
Menurutnya, sebarang tindakan yang dibuat pada saat akhir berpotensi mengganggu fokus atlet yang sudah menjalani latihan intensif selama bertahun-tahun demi menggalas cabaran negara.
Beliau berharap ISN mengkaji semula serta memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan makanan tambahan, prestasi, pemulihan atlet dan sokongan sains sukan supaya keperluan atlet dapat dipenuhi secara lebih konsisten.
Ayub berkata atlet bertaraf dunia bukan sahaja dibentuk menerusi latihan yang berkualiti, malah memerlukan sistem sokongan sains sukan yang mantap termasuk aspek pemakanan, suplementasi dan pemulihan bagi memastikan mereka mampu bersaing di pentas tertinggi.
Walaupun sasaran tiga emas sudah berjaya dicapai, PABM yakin lima lagi atlet negara yang masih belum beraksi mampu meneruskan momentum cemerlang untuk menambah koleksi pingat Malaysia di Glasgow sambil membuktikan angkat berat terus muncul sebagai antara sandaran utama negara.