DUA jaguh trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Datuk Azizulhasni Awang kembali mengibarkan cabaran Malaysia apabila menghadiahkan podium dalam acara keirin di Piala Trek Jepun 1 di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.
Shah Firdaus yang baru pulih daripada kecederaan terus membuktikan sentuhannya belum hilang apabila meraih pingat perak selepas tewas kepada jaguh Jepun, Kaiya Ota dalam perlumbaan akhir penuh dramatik itu.
Azizulhasni pula menampilkan kayuhan bertenaga untuk menghadiahkan pingat gangsa sekali gus melengkapkan podium berganda Malaysia dalam perlumbaan yang berlangsung dalam tempo cukup agresif.
Kejayaan itu memberi isyarat jelas bahawa Shah Firdaus kini kembali berada di landasan terbaik selepas semakin konsisten di pentas antarabangsa sejak menjuarai keirin di Piala Trek Indonesia minggu lalu.
Terdahulu, Shah Firdaus memulakan kempen dengan cukup meyakinkan apabila menjuarai saringan ketiga pusingan pertama menewaskan pelumba Jepun, Minato Nakaishi serta wakil China, Li Zhiwei.
Azizulhasni turut memperagakan pengalaman luasnya apabila menguasai saringan keempat sebelum kedua-dua pelumba negara melangkah bergaya ke pusingan berikutnya.
Dalam aksi pusingan kedua, Shah sekali lagi mencuri perhatian apabila muncul juara saringan kedua dengan mengetepikan Ryoya Mikami dan Ota, manakala Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat ketiga saringan pertama.
Untuk rekod, Azizulhasni sebelum ini menghadiahkan emas keirin pada pusingan akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Nilai pada April lalu, sementara Shah terus membawa momentum kemenangan selepas muncul juara acara sama di Jakarta minggu lalu.