Rentak Awal Kuadran Negara

FOTO| BOLAROTAN

SKUAD negara membuka kempen acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan langkah kanan apabila mudah menundukkan Singapura 15-9, 15-13 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Malaysia yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Muhammad Shahalri Aiman Halim tampil lebih kemas untuk menguasai tempo permainan sejak set pertama.

Walaupun diasak hebat lawan pada set kedua, kuadran negara tetap tenang mengawal tekanan sebelum memanfaatkan kesilapan lawan untuk mengesahkan kemenangan sulung kejohanan.

Kapten pasukan, Amirul Zazwan bagaimanapun mengakui prestasi dipamerkan masih belum berada pada tahap terbaik menjelang aksi lebih getir menentang Korea Selatan dan India esok.

“Untuk perlawanan pertama hari ini, secara peribadi saya rasa permainan kami agak perlahan.

“Kami perlu tingkatkan lagi permainan untuk aksi esok menentang Korea dan India kerana saya lihat mereka mempamerkan permainan yang lebih baik hari ini.

“Dalam acara kuadran ini semua negara ada peluang untuk menang, terutama pasukan yang kurang melakukan kesilapan ketika hadangan,” katanya selepas tamat perlawanan sambil mengakui servis dan pukulan perlu diperkemaskan untuk memburu lebih banyak mata.