Norza sedia galas misi bawa sepak takraw ke Olimpik

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi bayangan jelas bahawa perjuangan membawa sepak takraw ke pentas Olimpik kini semakin serius digerakkan bersama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.

Norza menegaskan beliau bersama Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan akan terus menggempur pelbagai saluran bagi memastikan sukan tradisi Asia Tenggara itu akhirnya mendapat tempat di temasya terbesar dunia.

"Impian melihat anak muda Malaysia dan antarabangsa memburu pingat Olimpik menerusi sepak takraw bukan lagi sekadar angan-angan, sebaliknya misi yang perlu diperjuangkan habis-habisan," katanya, ketika merasmikan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Jumaat.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader yang sebelum ini lantang mencadangkan sepak takraw disenaraikan sebagai acara rasmi Olimpik pada masa depan.

Dalam masa sama, Norza turut mengangkat Sumali sebagai ‘Bapa Transformasi Sepak Takraw’ susulan kejayaannya mengubah landskap pengurusan dan imej sukan itu sejak mengambil alih tampuk kepimpinan PSM pada 2022.

Beliau menyifatkan sentuhan Sumali cukup besar dalam memacu era profesionalisme termasuk membawa kembali kejohanan bertaraf dunia ke Malaysia sekali gus menghidupkan semula aura sepak takraw negara di pentas antarabangsa.

Norza turut percaya pencapaian Malaysia meraih dua emas pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 serta kejayaan menumbangkan Thailand pada Sukan SEA 2025 membuktikan skuad negara kini berada di landasan tepat menjelang aksi Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa esok hingga 23 Mei ini.