KEADAAN angin kuat di gelanggang nyata menjadi ‘senjata rahsia’ pasangan beregu lelaki negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai untuk menyingkirkan pasangan ketujuh dunia dari Indonesia pada pusingan kedua Terbuka Singapura, Khamis.
Pasangan ranking ke-27 dunia itu menampilkan aksi matang apabila menewaskan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-19, 21-17 dalam tempoh 38 minit di Stadium Tertutup Singapura, untuk mara ke suku akhir kejohanan Super 750 berkenaan.
Kemenangan itu juga membalas kekalahan mereka kepada pasangan Indonesia terbabit ketika kejohanan di Macau tahun lalu.
Khai Xing berkata, mereka cepat menyesuaikan diri dengan keadaan angin di stadium yang sering menjadi cabaran buat ramai pemain dunia.
“Saya rasa kita sangat advantage lah sebab main dengan angin yang kuat, so ini satu advantage lah bagi kita sebab kita cepat adapt macam tu lah dengan angin, lawan angin atau kiri kanan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurutnya, keadaan gelanggang di Singapura juga sesuai dengan corak permainan mereka yang lebih gemar bermain pantas dan agresif.
Sementara itu, Aaron menyifatkan konsistensi pukulan serta komunikasi dalam gelanggang menjadi faktor utama kemenangan straight set itu.
“Saya rasa key untuk kemenangan tu kita punya konsistensi keluar bola dan kita punya komunikasi dalam court lah, so kalau kita lebih konsisten so kita akan lebih bagus lah,” kata Aaron.
Dalam masa sama, Khai Xing mengakui mereka gembira kerana segala perancangan dan corak latihan berjaya diterjemahkan dengan baik ketika aksi penting itu.
“Pertama, kita memang happy lah dengan performance kita hari ini sebab apa yang kita training tu memang ada keluarkan lah, itu just nak dia punya konsisten,” ujarnya yang bakal berdepan jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di suku akhir.