AIDILADHA bukan sahaja tentang pengorbanan wang atau haiwan semata-mata, tetapi juga pengorbanan hati dan perasaan. Ada penjaga yang membesarkan lembu sejak kecil, melihat haiwan itu membesar di depan mata, mengenali setiap tingkah lakunya, malah ada yang menjadikan haiwan ternakan sebagai peneman hidup ketika sunyi. Maka tidak hairanlah ada air mata yang gugur diam-diam di pagi raya korban. Walaupun berat, mereka tetap merelakan. Dalam Islam, ibadah korban membawa makna yang sangat besar tentang ketaatan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Seperti kisah Nabi Ibrahim A.S. yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail A.S. demi memenuhi perintah Tuhan, Aidiladha mengajar manusia bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan hati yang reda mempunyai nilai yang amat tinggi di sisi agama.

Ada sesuatu yang sangat menyentuh apabila melihat lembu korban mengalirkan air matanya buat kali terakhir ketika berada disisi penjaganya buat kali terakhir sebelum proses penyembelihan dilakukan. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan dari penjaga selain pandangan mata yang penuh sayu dan hati yang cuba belajar menerima. Bukan kerana mereka tidak ikhlas, tetapi kerana kasih itu benar-benar wujud. Di kampung-kampung, suasana gotong-royong ketika ibadah korban juga memperlihatkan sisi kemanusiaan yang indah. Penduduk saling membantu melapah daging, mengagihkan rezeki kepada golongan memerlukan dan berkongsi juadah bersama-sama. Dalam kesedihan melepaskan haiwan yang disayang, terselit rasa syukur kerana dapat berkongsi nikmat dengan orang lain.

Aidiladha sebenarnya mengajar manusia tentang makna sebenar cinta dan pengorbanan. Kadangkala, mencintai bukan bererti memiliki selamanya, tetapi merelakan sesuatu pergi demi tujuan yang lebih besar. Di sebalik gema takbir dan kemeriahan ibadah korban, tersimpan kisah-kisah kecil tentang hati manusia yang belajar untuk ikhlas walaupun dalam kesedihan. Kerana itulah, setiap kali takbir Aidiladha berkumandang, bukan sahaja haiwan korban yang dikorbankan, tetapi juga sebahagian rasa sayang dalam hati seorang penjaga yang memilih reda demi memenuhi tuntutan agama dan mensyukuri nikmat daripada Tuhan.




