Ainaa Amani duta Victo Authentic




KEHADIRAN jenama pakaian sukan tempatan, Victo Authentic yang secara rasmi melantik pemain skuasy Wanita negara, Ainaa Amani Ampandi sebagai duta mereka, tepat pada masanya ketika melakukan persiapan ke Kejohanan Beregu Asia dan Sukan Asia.

Menurut Ainaa, selaku pemain skuasy professional dia perlu mengambil bahagian di kejohanan antarabangsa dan kehadiran Victo pasti dapat membantu dari segi penyertaan di luar negara.

“Ya sedikit sebanyak membantu sebab untuk mendapatkan tajaan dari luar amat susah, semuanya perlu ditanggung sendiri.

“Dengan adanya Victo, mereka meringankan beban saya dan saya juga dapat membantu jenama tempatan ke pentas antarabangsa,” kata Aaina yang kini menghuni ranking ke-54 dunia perseorangan Wanita.

Ainaa yang berada di posisi kelima terbaik dalam kalangan pemain wanita negara ketika ini mendedahkan, Victo telah menyokong perjalanan keriernya sejak 2023 lagi, menerusi sumbangan pakaian untuk menyertai kejohanan, namun kini dia secara rasmi dilantik sebagai duta.

“Victo bantu saya dari segi outfit kejohanan dan latihan dan ini berterusan sejak tahun 2023 lagi.”

Menurutnya, sebagai duta Victo, dia akan terus mendapat tajaan pakaian seperti baju, stokin dan juga kewangan.


“Ainaa ke kejohanan memakai skirt dan menurut Victo, mereka sedang mengusahakan untuk mereka bentuk skirts bagi membolehkan Ainaa menggunakan outfit jenama Victo sepenuhnya,” tambah Ainaa lagi.

Mengulas mengenai prestasinya, Ainaa berkata, selepas mengalami kejatuhan ranking dunia berikutan tidak menyertai kejohanan PSA bagi memberi laluan persiapan ke Sukan SEA tahun lalu,  rankingnya kembali naik selepas memenangi satu gelaran musim ini.

Untuk rekod, Ainaa menjuarai RC Pro Series di Amerika Syarikat (AS) April lalu, selain melangkah ke separuh akhir kejohanan Trofi Hyder (AS) dan pusingan kelayakan Piala Dunia di Hong Kong juga pada April.