PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan bertekad tampil lebih agresif pada Pusingan Kedua Moto4 European Cup 2026 di Portugal hujung minggu ini dengan misi memburu podium pertamanya musim ini.
Keyakinan itu hadir selepas anak kelahiran Terengganu berkenaan mencuri perhatian pada penampilan sulungnya apabila menamatkan perlumbaan pembukaan di Barcelona pada kedudukan keempat keseluruhan.
Keputusan memberangsangkan itu membuktikan Qabil bukan sekadar pelengkap grid, sebaliknya mampu memberi cabaran kepada kelompok elit Eropah dalam kejuaraan berprestij berkenaan.
Bagaimanapun, cabaran di Litar Estoril kali ini dijangka lebih sukar apabila pasukan SIC-GRYD Racing tidak menjalani sebarang ujian persendirian di litar terbabit seperti kebanyakan pencabar lain.
Situasi itu menyaksikan setiap sesi rasmi bermula Jumaat menjadi medan penting buat pasukan mengumpul data dan mendapatkan tetapan terbaik jentera.
Lebih mencabar, dua perlumbaan akan berlangsung pada Ahad dengan setiap satu membabitkan 15 pusingan yang menawarkan mata kejuaraan cukup berharga.
Qabil bagaimanapun tidak gentar berdepan kekangan itu kerana percaya pengalaman dikutip di Barcelona mampu menjadi bekalan penting untuk meningkatkan prestasinya.
Menurutnya, pusingan pertama memberi banyak pengalaman baharu terutama dalam memahami corak perlumbaan pelumba-pelumba Eropah yang terkenal dengan gaya tunggangan pantas dan agresif.
“Pusingan pertama di Barcelona memberi banyak pengalaman baharu kepada saya dan saya belajar banyak perkara sepanjang hujung minggu tersebut yang akan membantu saya tampil lebih baik di Portugal nanti,” katanya.
Beliau berkata, persaingan di Moto4 European Cup jauh berbeza kerana setiap pelumba sentiasa memberi tekanan dan jarang melakukan kesilapan walaupun berlumba dalam kelompok yang sangat rapat.
“Bagi saya, salah satu perbezaan terbesar ialah pelumba-pelumba di sini sangat laju dan agresif, jadi untuk pusingan di Portugal nanti saya mahu menjadi lebih agresif berbanding sebelum ini,” katanya.
Qabil yang kini menghuni tangga keempat keseluruhan dengan 13 mata kejuaraan turut meletakkan sasaran berada dalam kelompok hadapan sebelum cuba merealisasikan impian menaiki podium pertama Moto4 European Cup musim ini di Estoril.