TIRAI saingan peringkat kumpulan Kejohanan Ragbi Piala Agong Ke-43 2026 akhirnya ditutup dengan debaran kini beralih sepenuhnya ke pentas suku akhir yang dijangka menjanjikan pertembungan sengit hujung minggu ini.
Lapan pasukan terbaik negara berjaya melepasi halangan peringkat awal dan kini hanya selangkah untuk mengintai tiket ke separuh akhir.Terengganu tampil sebagai juara Kumpulan A selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang lima minggu pertandingan, manakala Kelantan, PDRM dan Kuala Lumpur turut mengesahkan kemaraan.
Dalam Kumpulan B pula, Johor membuktikan status antara pencabar utama apabila menamatkan saingan sebagai juara kumpulan diikuti Negeri Sembilan, ATM dan Putrajaya.
Aksi penutup minggu kelima menyaksikan Putrajaya menewaskan Kedah 45-32 dalam satu lagi persembahan meyakinkan untuk menghidupkan keyakinan menjelang pusingan kalah mati.
Negeri Sembilan pula mencuri tumpuan apabila meraih kemenangan dramatik 40-39 ke atas ATM dalam pertarungan yang berlangsung sehingga wisel penamat.
Saingan suku akhir pada 13 Jun ini bakal menemukan Terengganu dan Putrajaya di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu dalam perlawanan yang dijangka menjadi tumpuan utama.
Johor pula akan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menerima kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Pasir Gudang, manakala Kelantan berdepan cabaran ATM di Padang B UPM Serdang.
Satu lagi aksi suku akhir menemukan Negeri Sembilan dan PDRM dalam pertemuan yang dijangka berlangsung penuh intensiti dengan venue perlawanan akan diumumkan kemudian.
Dengan tempat ke separuh akhir menjadi taruhan, setiap pasukan kini memasuki fasa paling kritikal dalam misi memburu kejuaraan sebelum kemuncak Piala Agong 2026 berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam pada 28 Jun ini.
Untuk rekod, kejohanan ini turut menjadi platform penilaian dan pemilihan pemain bagi mewakili pasukan kebangsaan ke Kejohanan Union Cup 2026 - SEARF Men’s 15s Championship yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada pertengahan Julai nanti.