Azeem samai rekod kebangsaan, perkemas Langkah ke Eugene

PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi memperkemaskan persiapannya menjelang Kejohanan Olahraga NCAA Divisyen I di Eugene, Oregon apabila menyamai rekod kebangsaan 100 meter (m) miliknya dengan catatan 10.09 saat (s) pada Kejohanan NCAA Track & Field East Regional, awal pagi Sabtu.

Catatan itu bukan sahaja menyaksikan Azeem menyamai rekod kebangsaan yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada 2022, malah mengesahkan kemaraannya ke Grand Final NCAA sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama layak ke final acara individu 100m di pentas berprestij itu.

Atlet yang mewakili Universiti Auburn itu terlebih dahulu memberi petanda positif apabila merekodkan masa terbaik musim ini, 10.13s pada pusingan pertama NCAA East Preliminary Championships di Kentucky sebelum meningkatkan kelajuan pada aksi suku akhir.

Peningkatan prestasi yang dipamerkan Azeem membuktikan konsistensinya sepanjang musim di Amerika Syarikat, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa beliau berada pada landasan terbaik menjelang saingan NCAA Divisyen I di Hayward Field, Eugene, Oregon dari 10 hingga 13 Jun depan.


Momentum cemerlang itu turut mengukuhkan status Azeem sebagai sandaran utama negara dalam acara pecut lelaki bersama Danish Iftikhar Muhammad Roslee menjelang cabaran lebih besar termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadual berlangsung September ini.