KETIADAAN pemain profesional negara, Lee Zii Jia pada hari pertama latihan pusat Piala Thomas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini, mencetuskan tanda tanya besar apabila dilaporkan masih diulit kecederaan.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kem skuad kebangsaan ketika persiapan ke Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini semakin memuncak.
Apa yang lebih merisaukan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai tahap kecederaan pemain berkenaan.

Perkara itu disahkan Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas meninjau sesi latihan pertama pasukan negara, hari ini.
Menurutnya, Zii Jia sepatutnya melaporkan diri bersama skuad, namun terpaksa menangguhkan kehadiran susulan kecederaan yang dialami.
“Dia sepatutnya bermula hari ini, tetapi kerana mengalami kecederaan sedikit, kita masih menunggu maklum balas bila dia boleh mula latihan, namun dia tetap komited untuk hadir,” katanya.
Ketidaktentuan status kecederaan itu memberi bayangan cabaran awal buat barisan kejurulatihan dalam merangka strategi terbaik pasukan.

Zafrul menegaskan faktor kecergasan fizikal dan keyakinan mental Zii Jia menjadi elemen penting dalam memperkukuh cabaran skuad negara.
“Kalau Zii Jia berada dalam keadaan cergas dan yakin, sudah tentu dia mampu memberi sumbangan besar kepada pasukan, tetapi jika masih cedera ia akan menyukarkan,” katanya.
Sebagai rekod, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-80 dunia baru kembali beraksi Januari lalu selepas lebih setahun dibelenggu kecederaan buku lali dan belakang.
Namun, rentak permainannya masih belum stabil apabila tersingkir awal dalam lima daripada enam kejohanan disertai termasuk di Masters Orleans baru-baru ini.

Dalam masa sama, BAM menegaskan perancangan terhadap Zii Jia bukan hanya tertumpu kepada Piala Thomas, malah turut mengambil kira Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai sasaran utama memburu pingat.
Skuad negara dijangka memuktamadkan senarai 10 pemain bagi kempen Piala Thomas dan Uber minggu depan dengan situasi Zii Jia pasti menjadi perhatian utama.




