SEBALIK senyuman manis di gelanggang, Ratchanok Intanon menyimpan satu rasa yang tidak pernah hilang - rindu terhadap ibunya, Kamphan Swannasara.
Dalam setiap langkah di gelanggang, fikirannya sering kembali kepada insan yang menjadi tulang belakang perjalanan hidupnya sejak kecil.
Terbaharu di Instagram miliknya, Instagram dengan nama akaun “Ratchanokmay”, dia berkongsi luahan penuh emosi tentang kehilangan dan harapan untuk terus kuat.

“In life you will lose everything, just don’t lose hope,” tulisnya ringkas, namun cukup menggambarkan perjalanan hidup yang penuh ujian.
Dalam diam, kata-kata itu membawa makna lebih mendalam - kehilangan insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan.
Ratchanok bukan sekadar bintang badminton, tetapi simbol ketabahan yang membesar dari kesusahan demi membantu keluarganya keluar daripada kemiskinan.

Sejak kecil, dia sudah mengenal erti pengorbanan apabila bermain badminton di kilang tempat ibu bapanya bekerja sebelum mencipta nama di pentas dunia.
Namanya meledak apabila muncul juara remaja dunia pada usia 14 tahun sebelum mencipta sejarah sebagai pemain pertama memenangi tiga gelaran berturut-turut.
Kemuncak kariernya hadir pada 2013 apabila dia muncul juara dunia termuda pada usia 18 tahun, sekali gus mengangkat Thailand ke pentas elit badminton dunia.
Namun di sebalik kejayaan itu, hatinya tetap terikat dengan keluarga, terutama ibunya yang menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan.
Kini, menjelang penghujung karier, Ratchanok memberi bayangan bahawa Olimpik Paris lalu mungkin menjadi penampilan terakhirnya di pentas terbesar dunia.

Keputusan itu bukan sekadar soal usia atau prestasi, tetapi lebih kepada perjalanan hidup yang sudah melalui pelbagai fasa.
Dalam fikirannya, setiap kejohanan bukan lagi sekadar memburu kemenangan, tetapi menghargai setiap detik yang masih ada di gelanggang.
Dan di setiap pukulan, di setiap mata yang diraih, ada satu perkara yang tidak pernah berubah - rindu yang sentiasa hidup buat ibunya.




