PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kini menggunakan nada lebih tegas apabila melaungkan amaran terhadap pemain yang meninggalkan badan induk itu sebelum tamat kontrak, diwajibkan membayar pampasan.
Pendekatan baharu itu dilihat sebagai langkah memperkukuh tadbir urus selain melindungi pelaburan besar yang dicurahkan terhadap pembangunan atlet negara.
Presidennya, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Ahli Majlis pada Mei depan untuk dimuktamadkan.
Menurutnya, klausa pampasan sebenarnya sudah wujud dalam kontrak sedia ada, namun sebelum ini tidak dikuatkuasakan secara konsisten.
“Secara prinsip, saya tiada masalah kerana pelaburan yang dibuat BAM untuk membangunkan seseorang pemain mencecah jutaan ringgit dari awal hingga menjadi profesional.
“Kalau ikut amalan biasa seperti biasiswa syarikat, jika tidak memenuhi tempoh perkhidmatan, pampasan perlu dibayar.
“Jadi perkara ini adalah adil dari sudut tadbir urus,” katanya, selepas meninjau latihan rasmi pertama skuad Piala Thomas dan Uber negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Cadangan itu turut disokong legenda negara, Daro' Seri Lee Chong Wei yang mahu pemain lebih bertanggungjawab terhadap komitmen kontrak mereka.
Zafrul menjelaskan BAM sebelum ini pernah melonggarkan pelaksanaan klausa berkenaan, namun pendekatan itu tidak lagi sesuai dalam landskap profesional masa kini.
Katanya, badan induk itu akan lebih konsisten dan tegas bagi memastikan setiap pemain menghormati perjanjian yang dimeterai.
Berdasarkan peruntukan semasa, jumlah pampasan dianggarkan antara RM300,000 hingga RM500,000 bergantung kepada ranking dunia pemain.
Lebih berat, pemain yang enggan melunaskan pampasan boleh dikenakan sekatan menyertai kejohanan antarabangsa sehingga dua tahun.
Sebelum ini, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei pernah digantung dua tahun pada 2022 sebelum sekatan itu ditarik balik selepas penyelesaian dicapai tanpa penalti.
Dalam perkembangan sama, pemain beregu wanita negara, Go Pei Kee dijangka menjadi pemain terakhir yang meninggalkan BAM tanpa dikenakan pampasan di bawah pendekatan lama itu.




