BAHANG kemeriahan semakin terasa apabila jualan tiket PERODUA Malaysia Masters 2026 dibuka secara rasmi bermula 2 April ini.
Kejohanan berprestij itu dijadual berlangsung di Unifi Arena dari 19 hingga 24 Mei depan dengan kehadiran bintang dunia dan jaguh tempatan.
Lebih menarik, peminat boleh menikmati harga istimewa Early Bird sepanjang tempoh jualan menerusi inisiatif #BAMBelanjaRaya sempena sambutan Aidilfitri.
Sebagai tanda penghargaan kepada penyokong, harga tiket tahun ini kekal sama seperti edisi lalu meskipun permintaan dijangka meningkat.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata sambutan dijangka hangat dengan kehadiran pemain bertaraf dunia yang bakal berentap merebut kejuaraan.
Beliau turut mengingatkan peminat agar mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelak kekecewaan terutama bagi kategori tempat duduk popular.
Selain tiket harian, pas bermusim turut ditawarkan kepada peminat setia yang mahu mengikuti keseluruhan aksi sepanjang kejohanan.
Aksi dijangka membara dengan gandingan juara bertahan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun serta barisan bintang negara lain bersedia menggegar gelanggang di hadapan penyokong sendiri.




