SAINGAN Netball Super League (NSL) kembali untuk musim kelima pada tahun ini dengan pelbagai pembaharuan menarik, termasuk penganjuran NSL Regional Cup buat julung kali serta penyertaan pemain antarabangsa bertaraf dunia.
Liga anjuran Astro dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Malaysia itu akan berlangsung dari 11 April hingga 17 Mei 2026 di Stadium Juara, melibatkan lapan pasukan dan sebanyak 64 perlawanan sepanjang enam minggu.
Antara tarikan utama musim ini ialah pengenalan NSL Regional Cup yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Mei, selepas tamat saingan liga utama. Kejohanan itu akan menyaksikan dua pasukan terbaik NSL bersaing bersama dua pasukan jemputan dari Singapura dan Hong Kong.
Selain itu, sebanyak 16 pemain import dari pelbagai negara termasuk Australia, New Zealand, Jamaica, Afrika Selatan dan Uganda bakal memperkuatkan lagi tahap persaingan. Tumpuan turut terarah kepada kehadiran bekas pemain Australian Diamonds, Gretel Bueta serta legenda Silver Ferns, Laura Langman.

Dalam perkembangan berkaitan, CelcomDigi tampil sebagai penaja utama buat pertama kali, sekali gus mencerminkan keyakinan sektor korporat terhadap potensi liga bola jaring profesional wanita di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari, berkata perkembangan NSL selari dengan pencapaian positif sukan bola jaring negara, termasuk kejayaan meraih pingat emas di Sukan SEA serta kelayakan ke kejohanan remaja dunia.
“Liga seperti NSL memainkan peranan penting dalam menyediakan platform kompetitif untuk mencungkil bakat baharu dan memperkukuh pasukan kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sukan Astro, Nicholas John memaklumkan bahawa NSL terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, dengan lebih 33 juta tontonan direkodkan di platform digital musim lalu, selain siaran antarabangsa melalui saluran W-Sport.
Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib pula berkata format pertandingan kekal menggunakan sistem round-robin sebelum empat pasukan terbaik mara ke peringkat kalah mati.

Musim lalu menyaksikan KL Wildcats muncul juara selepas menewaskan Putrajaya Dynamites dengan perbezaan satu mata dalam aksi final yang mendebarkan.
Dalam usaha pembangunan akar umbi, NSL turut meneruskan penganjuran Klinik NSL bagi memberi peluang kepada bakat muda mengasah kemahiran dan berinteraksi dengan pemain profesional.
Tiket perlawanan kini mula dijual, manakala peminat boleh menyaksikan siaran langsung di Astro Arena, Astro GO dan Sooka sepanjang musim berlangsung.




