SKUAD badminton wanita negara hampir dimalukan sebelum diselamatkan gandingan muda, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang memastikan kemenangan 3-2 ke atas Turkiye dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Piala Uber 2026 di Forum Horsens, sebentar tadi.
Malaysia bermula garang apabila perseorangan utama, K Letshanaa menghadiahkan mata pertama selepas menewaskan pemenang gangsa Kejohanan Eropah, Neslihan Arin 21-16, 13-21, 21-13 sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas lawannya itu.
Rentak itu bagaimanapun terencat apabila Wong Ling Ching dikejutkan kekalahan kepada pemain ranking ke-78 dunia, Ozge Bayrak 17-21, 21-15, 18-21 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Goh Jin Wei kemudian kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi aksi meyakinkan menewaskan Zehra Erdem 21-14, 21-13 dalam perseorangan ketiga.
Namun, kedudukan kembali genting apabila beregu utama Ong Xin Yee-M Thinaah mensia-siakan peluang selepas tewas kepada naib juara Eropah, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci dalam pertarungan tiga set yang mendebarkan.
Walaupun menang set pertama 22-20 dan mendahului 16-10 di set kedua, Xin Yee-Thinaah gagal mengekalkan momentum sebelum tewas 19-21 dan tumbang 19-21 dalam set penentuan.
Thinaah mengakui, “Kami tahu mereka lawan yang kuat dan baru beraksi di final Kejohanan Eropah, kami agak bersedia tetapi mereka berjaya memberi tekanan dan kami sedikit mengikut corak permainan mereka,” manakala Xin Yee menambah, “Saya rasa agak gementar bila lawan beri tekanan dan itu menyebabkan saya melakukan kesilapan.”
Dalam situasi getir, Zi Yu-Aqilah tampil sebagai penyelamat negara apabila menundukkan Yasemen Bektas-Zehra Erdem 21-18, 21-19 untuk menghadiahkan kemenangan, dengan Malaysia dijadual menentang Afrika Selatan dalam aksi kedua kumpulan, esok.




