SKUAD Piala Thomas negara dituntut memulakan kempen dengan keputusan cemerlang bagi membina momentum menghadapi perjalanan panjang kejohanan, di Horsens, Denmark yang bermula hari ini.
Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan B menentang England esok sebelum berdepan Finland pada 27 April dan Jepun pada 29 April.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen menegaskan permulaan cemerlang amat penting untuk menetapkan standard pasukan.

“Setiap kejohanan, lebih-lebih lagi Piala Thomas, sangat penting untuk bermula dengan baik kerana cabaran di hadapan menuntut kita mengharungi pelbagai kesukaran dalam setiap perlawanan,” katanya kepada BAMTV.
Menurutnya, kem latihan selama seminggu berjalan lancar dan memberi ruang kepada barisan kejurulatihan menilai kesiapsiagaan pemain.

“Semua pemain sudah bersedia untuk memulakan kempen, kami menjalani minggu kem yang baik dan kini berada di venue dengan dua hari sesi ujian, jadi kami bersedia,” ujarnya lagi.
Barisan pemain yang bakal diturunkan pada setiap perlawanan sudah ditetapkan hasil perbincangan kolektif oleh jurulatih berdasarkan pemerhatian serta rekod pertemuan dengan lawan.
“Perbincangan kami sangat taktikal dan strategik, malah ada kalanya pemain turut dilibatkan kerana mereka yang akan beraksi di gelanggang,” katanya.
Jonassen turut melihat intensiti, semangat dan motivasi tinggi dipamerkan pemain sepanjang persiapan menjelang aksi pembukaan.
Dalam pada itu, skuad wanita akan membuka kempen Piala Uber menentang Turkiye esok, dijangkamenerima tentangan sengit lawan.

"Pemain kita mesti berjuang mengatasi tekanan dengan kepercayaan diri yang tinggi.
"Turkiye sudah tentu akan meletakkan banyak tekanan namun saya percaya, berdasarkan kemampuan pemain dan jika dapat diterjemahkan di gelanggang, peluang cerah memenanhi perlawanan pertama," kata Kenneth.
Skuad Piala Uber negara diundi dalam kumpulan B akan turut berdepan daingan dari pasukan pilihan, Jepun dan Afrika Selatan.




