PELUMBA trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter, 'flying' pada Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Nilai, hari ini.
Atlet berusia 23 tahun itu mencatat masa 10.541 saat untuk menamatkan saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan dalam pusingan kelayakan pecut individu wanita di Velodrom Nasional.
Catatan itu sekali gus memadam rekod lamanya 10.578s yang dilakar di Kejohanan Piala Negara di Konya, Mac tahun lalu.
“Kejayaan ini sangat bermakna buat saya dan membuktikan saya kembali ke tahap terbaik,” kata Izzah yang bangkit selepas prestasi merudum pada separuh kedua musim lalu.
Turut mencuri perhatian ialah rakan sepasukan, Nur Alyssa Farid yang mencatat masa 10.626s untuk menduduki tempat ke-12 dan layak ke pusingan pertama.
Kedua-dua pelumba negara itu bakal berdepan cabaran pelumba Belgium dengan Izzah dijadual menentang Zita Gheysens manakala Alyssa berdepan Nicky Degrendele.
Dalam perkembangan sama, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak menghampakan apabila memenangi saringan pertama acara keirin untuk mara ke pusingan kedua.
Bagaimanapun, Shah Firdaus Sahrom tersingkir di pusingan repechage selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam saringannya.




