SETIAP pemain yang dihantar ke Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China perlu membawa mentaliti memburu kemenangan dan bukan sekadar menumpang nama dalam skuad negara.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan pendekatan itu penting bagi memastikan kejayaan tidak terus bergantung kepada gandingan utama semata-mata.
Menurutnya, pemain perlu memahami peranan masing-masing sebagai pencabar gelaran, bukannya hanya pelengkap pasukan dalam kejohanan bertaraf tinggi.
Beliau berkata, negara lain seperti China dan Korea turut mempertaruhkan barisan terbaik, sekali gus menuntut pemain Malaysia tampil lebih berani dan kompetitif.

Rexy menjelaskan, potensi pemain lain tidak boleh dipandang rendah dan wajar diberi kepercayaan untuk mencabar dominasi lawan.
Katanya, kebergantungan kepada pasangan seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu dikurangkan secara berperingkat.
“Cara berfikir harus berubah kerana pemain menjalani latihan sama setiap hari, tetapi perbezaan sebenar terletak pada kekuatan mental,” katanya ditemui di ABM.
Beliau turut menegaskan pemain tidak boleh lagi bersandar kepada reputasi rakan sepasukan yang lebih senior untuk meraih kejayaan.

Dalam perkembangan sama, Rexy mengesahkan Toh Ee Wei sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali menunjukkan pergerakan normal dalam latihan.
Selepas aksi di Ningbo, skuad negara dijadual pulang seketika sebelum berlepas ke Herning, Denmark bagi kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas dan Uber hujung April ini.




