MUHAMMAD Fadhil Zonis belum puas mencipta sensasi apabila sekali lagi mengintai peluang memperbaharui rekod kebangsaan acara pecut berpasukan lelaki di Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai bermula 24 April ini.
Fadhil yang bergandingan bersama Ridwan Sahrom dan Mohd Akmal Nazimi Jusena tampil dengan misi besar untuk mengatasi catatan masa terbaik mereka sebelum ini.
Walaupun sekadar menamatkan saingan di tempat keempat di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), kejayaan memadam rekod kebangsaan menjadi pembakar semangat trio berkenaan.
Fadhil menegaskan fokus utamanya kini adalah membawa momentum cemerlang dari ACC ke pentas Piala Dunia.
Dia bertekad memberikan kayuhan maksimum dengan sasaran utama untuk sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan.

Pada saingan ACC di Tagaytay, Filipina bulan lalu, gandingan negara mencatat masa 48.086 saat sekali gus memadam rekod lama 48.458 saat yang dilakukan tahun lalu.
Menurut Fadhil, keserasian bersama Ridwan dan Akmal semakin meningkat terutama dari aspek pengurusan jarak, kawalan gear serta transisi.
Katanya, sasaran realistik mereka adalah untuk melepasi pusingan pertama dan menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.
Walaupun mengakui laluan memburu pingat masih mencabar, Fadhil tetap optimis untuk memberi tentangan sengit kepada pencabar lain.
Dalam perkembangan sama, Fadhil turut teruja dengan peluang kerjasama bersama Brooks Running yang disifatkannya mampu membantu meningkatkan prestasi latihan dan pemulihan.




