SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun yang dikaitkan dengan projek sukan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.
Suspek dipercayai menerima wang suapan sebagai balasan membantu meluluskan bayaran tuntutan kontraktor bagi projek pembinaan gelanggang skuasy bernilai RM7 juta di ibu negara.
Perintah reman selama lima hari sehingga 18 April 2026 dikeluarkan oleh Majistret, Ezrene Zakaria di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam Isnin di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Mac lalu dengan meminta rasuah berjumlah RM1 juta daripada kontraktor terbabit.
“Bagaimanapun suspek dipercayai telah menerima kira-kira RM500,000 secara tunai sebelum Aidilfitri lalu dan RM100,000 lagi semalam,” menurut sumber.
Wang berkenaan dipercayai diserahkan dalam beberapa transaksi termasuk pertemuan di sebuah pusat beli-belah sebagai usaha melicinkan kelulusan pembayaran projek.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.




