LEGENDA badminton dunia, Viktor Axelsen akhirnya mengumumkan persaraannya pada usia 32 tahun sekali gus menutup tirai karier gemilang yang penuh dengan trofi berprestij.
Pemain dari Denmark itu meninggalkan gelanggang sebagai juara Olimpik dua kali, juara dunia dua kali, juara Eropah tiga kali serta bekas pemain nombor satu dunia yang cukup dominan.
Jagoan dunia itu juga muncul pemain badminton era profesional pertama, melengkapkan semua gelaran Slam, Super 1,000.
Pengumuman dibuat menerusi sosial medianya, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kecederaan belakang yang berlarutan menjadi faktor utama memaksanya membuat keputusan sukar.

Axelsen mengakui masalah fizikal yang dihadapinya sejak beberapa tahun lalu semakin membataskan pergerakan dan prestasi di tahap tertinggi.
“Seperti yang ramai tahu, saya bergelut dengan masalah belakang sejak sekian lama dan selepas menjalani pembedahan serta pemulihan panjang, saya mengalami kemunduran semula,” katanya di aplikasi Instagram.
Menurutnya, kesakitan yang berterusan menyebabkan dia tidak lagi mampu berlatih atau beraksi pada tahap diperlukan untuk bersaing di pentas elit.

“Sejak kejohanan terakhir itu, saya tidak dapat bermain atau berlatih seperti biasa kerana kesakitan, dan itulah sebabnya saya terpaksa membuat keputusan yang amat sukar ini,” ujarnya lagi.
Axelsen turut mendedahkan keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dengan pakar bedah dan doktor yang bimbang risiko kecederaan lebih serius jika dia terus beraksi.
“Doktor mengatakan keadaan ini mungkin memerlukan pembedahan lagi dan jika tidak berjaya, prosedur lebih serius mungkin diperlukan, jadi badan saya seolah-olah memberi isyarat untuk berhenti,” katanya.
Walaupun berat untuk diterima, Axelsen tetap melihat perjalanan kariernya sebagai satu pengalaman luar biasa yang penuh kenangan manis.

“Membuat keputusan ini sangat sukar dan kadang-kadang terasa tidak adil, tetapi saya bersyukur kerana dapat bermain, berlatih dan memenangi begitu banyak kejuaraan besar sepanjang karier,” tambahnya.
Dalam masa sama, dia menegaskan persaraan ini bukan penamat hubungannya dengan dunia badminton sebaliknya membuka lembaran baharu dalam sukan itu.
Selama lebih 15 tahun, Axelsen membuktikan bahawa keazaman, disiplin dan keberanian menjadi diri sendiri mampu mengangkat seseorang menjadi yang terbaik di dunia.




