JAZEMAN Jaafar kini beralih daripada memegang stereng ke mengemudi angka apabila dilantik sebagai Bendahari baharu Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu menyaksikan beliau menggantikan Dato' Razlan Razali dalam usaha memperkukuh struktur kepimpinan badan induk sukan permotoran negara.
Langkah berani MAM ini dilihat sebagai strategi menyuntik nafas baharu dengan menggabungkan pengalaman profesional dan kepakaran industri bertaraf dunia.
"Ini adalah salah satu hari pertama saya juga menjadi Bendahari Motorsport Association of Malaysia. Saya bermula sebenarnya daripada ahli EXCO selama satu setengah tahun. Kami fokus menumpukan kebanyakan daripada pembangunan, dari segi integriti, dari segi operasi, bajet dan sebagainyalah," katanya.

Jazeman bukan nama asing apabila reputasinya sebagai pelumba endurance antarabangsa sudah lama mengharumkan nama Malaysia di pentas global.
Antara pencapaian terbaiknya termasuk podium di Monaco dalam siri Formula Renault 3.5 serta gelaran naib juara British Formula 3 International Series.
Lebih membanggakan, beliau turut mencipta kejayaan dalam FIA World Endurance Championship bersama pasukan Jackie Chan DC Racing.
Pengalaman sebagai pelumba pembangunan bersama Mercedes-AMG Petronas Formula One Team selama empat tahun turut mengukuhkan kredibilitinya di peringkat elit dunia.
Dengan latar belakang itu, Jazeman diyakini mampu memacu pengurusan kewangan MAM ke arah lebih progresif sekali gus memperkasakan masa depan sukan permotoran negara.




