PERSATUAN Sukan Bermotor Malaysia membuktikan peranannya tidak terhad di litar lumba apabila turun padang menyantuni komuniti dalam Majlis Santunan Raya bersama anak-anak yatim.
Program penuh makna itu berlangsung di Rumah Kasih Harmoni sebagai sebahagian usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena Aidilfitri.
Majlis berkenaan diserikan kehadiran Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir bersama Setiausaha Agung S. N. Nanthan serta barisan Exco.
Seramai 120 anak-anak diraikan dalam suasana penuh kasih sayang dengan penyampaian sumbangan dan duit raya bagi menceriakan Aidilfitri mereka.

Mokhzani menegaskan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya simbol kesyukuran, kemenangan dan kebersamaan yang harus dikongsi semua lapisan masyarakat.
“MAM bukan sahaja komited dalam pembangunan sukan permotoran negara, malah turut memikul tanggungjawab sosial untuk menyumbang kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Inisiatif seperti ini bukanlah yang pertama dan pastinya bukan yang terakhir bagi MAM untuk terus kembali menyantuni komuniti,” katanya.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada pengurusan Rumah Kasih Harmoni atas dedikasi menjaga kebajikan anak-anak.

Tidak ketinggalan, penghargaan turut diberikan kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan majlis berkenaan.
MAM berharap program seumpama ini akan terus diperkasa pada masa depan dalam usaha memberi impak positif dan mendekatkan sukan permotoran dengan masyarakat.




