AEON Credit Service terus mengukuhkan komitmennya dalam pembangunan sukan permotoran negara apabila mengumumkan pelaburan rasmi bersama Cardinals Racing Team bagi musim 2026 Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC).
Langkah strategik itu sekali gus membuktikan peranan syarikat berkenaan bukan sekadar peneraju pembiayaan motosikal, malah pemacu utama ekosistem dua roda di Malaysia.
Dengan pegangan lebih 20 peratus pasaran, AEON Credit dilihat memainkan peranan besar dalam membuka akses mobiliti kepada rakyat sambil menyokong perkembangan industri secara menyeluruh.
Kerjasama itu turut menjadi platform memperkukuh penglibatan mereka dalam arena perlumbaan berprestasi tinggi serta pembangunan bakat tempatan ke peringkat serantau.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Sinergi Perniagaan AEON Credit, Lee Tyan Jen berkata, kerjasama itu adalah lanjutan semula jadi kepada kepimpinan syarikat dalam segmen motosikal.
Katanya, nilai ketepatan, ketahanan dan semangat kompetitif yang dibawa Cardinals Racing Team selari dengan aspirasi AEON Credit dalam memperkasa industri.
Cardinals Racing Team pula hadir dengan reputasi kukuh dalam ARRC, dikenali dengan keupayaan teknikal tinggi serta prestasi konsisten di litar.

Sokongan AEON Credit dijangka melonjakkan lagi daya saing pasukan itu dalam memburu podium sepanjang musim 2026.
Malah, penglibatan berterusan syarikat itu dalam platform elit seperti MotoGP serta sokongan kepada bakat muda seperti Hakim Danish memperlihatkan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan pelumba negara.
Prinsipal pasukan, K.F. Wong menyifatkan kerjasama itu sebagai pemangkin penting untuk bersaing di tahap tertinggi sambil membawa cabaran jenama ke pentas antarabangsa.




