PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengeluarkan amaran tegas susulan laporan penyalahgunaan nama dan logonya oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam penganjuran program sukan.
Dalam isu berkenaan, entiti dikenali sebagai SmashChamp Badminton didakwa menggunakan logo BAM pada sijil serta memberi gambaran mempunyai kaitan rasmi dengan badan induk itu.
BAM menegaskan SmashChamp Badminton tidak mempunyai sebarang hubungan, pengiktirafan atau kebenaran untuk menggunakan nama serta identiti persatuan berkenaan.
Situasi itu dilihat berpotensi mengelirukan komuniti badminton khususnya ibu bapa yang ingin menghantar anak menyertai program pembangunan sukan.

Sehubungan itu, BAM sudah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap dakwaan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, badan induk badminton negara itu turut menegaskan tidak akan berkompromi dan bersedia mengambil tindakan susulan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan identitinya.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan membuat semakan teliti sebelum menyertai sebarang program atau melakukan pembayaran.
Sebarang pengesahan berkaitan program rasmi BAM hanya boleh dibuat melalui saluran komunikasi rasmi persatuan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.




