KONTINJEN Malaysia mencuri tumpuan apabila berarak penuh bergaya pada majlis pembukaan Sukan Pantai Asia Ke-6 Sanya 2026 di Yasha Park, China.
Diketuai Chef de Mission, Datuk (Dr.) Chong Kim Fatt, barisan atlet negara melangkah megah sambil membawa semangat kesukanan ke pentas antarabangsa.
Seramai 33 anggota kontinjen terdiri daripada atlet dan pegawai tampil mewakili empat sukan iaitu pelayaran, teqball, triathlon dan bola tampar pantai.
Perarakan negara turut diserikan dengan kehadiran pembawa Jalur Gemilang, Isaac Tan Zhen Wei dari triathlon dan Lydia Hannah Jasmine Lukman dari pelayaran.
Walaupun hadir dengan jumlah kecil, kontinjen negara tetap mempamerkan semangat juang tinggi serta perpaduan yang utuh di hadapan ribuan penonton.
Lebih menarik, atlet Malaysia tampil segak dengan pakaian rasmi bercorak belang harimau yang menjadi identiti unik di pentas temasya.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut menzahirkan keyakinan agar semua atlet mampu memberikan persembahan terbaik sepanjang temasya berlangsung.
Saingan yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 April ini diharap menjadi pentas terbaik buat atlet negara menjulang nilai kecemerlangan, hormat dan persahabatan.




