Sukan Komanwel: Misi emas berganda menanti Malaysia

FOTO| MSN

IMPIAN skuad boling padang negara untuk menambah kilauan emas di Sukan Komanwel Glasgow semakin membara apabila Malaysia mengesahkan dua wakil ke pentas final yang menyaksikan kedua-duanya bakal membuat perhitungan dengan England.

Tumpuan pastinya terarah kepada pemain perseorangan lelaki negara, Izzat Shameer Dzulkeple yang mencipta kejutan terbesar kejohanan apabila menamatkan penguasaan juara bertahan Australia, Aaron Wilson, sekali gus menempah tiket ke final.

Kemenangan itu hadir dengan penuh dramatik apabila Izzat bangkit daripada kekalahan pada set pertama sebelum mengheret perlawanan ke tie-break dan akhirnya menumbangkan Wilson yang tidak pernah tewas dalam acara perseorangan Sukan Komanwel sejak muncul juara di Gold Coast 2018 dan Birmingham 2022.

"Saya tahu Aaron adalah pilihan utama dalam acara perseorangan, tetapi mungkin saya tidak berasa tertekan kerana ini adalah separuh akhir pertama saya, sebab itu saya benar-benar menikmati perlawanan ini," kata Izzat.

Kini, Izzat hanya dipisahkan satu lagi kemenangan untuk menghadiahkan emas buat Malaysia apabila bakal berdepan wakil England, Sam Tolchard, dalam aksi final yang dijangka sengit.

Sementara itu, gandingan beregu wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Abdul Rahman turut menghidupkan harapan emas selepas bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan pasangan Ireland Utara menerusi tie-break mendebarkan.

Aleena berkata sorakan kem Malaysia selepas kemenangan Izzat menjadi pembakar semangat buat mereka untuk terus berjuang sehingga berjaya mengesahkan tempat ke final.

"Kami mendengar sorakan penyokong Malaysia dan sangat gembira kerana Izzat berjaya menewaskan Aaron Wilson, namun tie-break memang membuatkan kami sangat gementar dan kadang-kadang anda juga memerlukan sedikit tuah kerana ia hanya satu end," katanya.

Aleena turut bertekad membantu Syafiqa memperbaiki pencapaian pingat perak yang dimenangi di Birmingham 2022 dengan menukar warna pingat itu kepada emas apabila menentang pasangan England, Sian Honnor dan Amy Pharaoh.

Dua pentas final menentang England kini menjadi medan terbaik buat Malaysia membuktikan kemampuan sebenar skuad boling padang negara sekali gus membawa pulang dua pingat emas yang cukup bermakna dari Glasgow.