MAMPUKAH Bardiani CSF 7 Saber menghidupkan semula bara kegemilangan pasukan profesional Itali pada edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), 27 September hingga 4 Oktober depan?
Selaku wakil tunggal Itali, pasukan ProTeam kendalian pengurus Mirko Rossato itu hadir dengan misi jelas untuk memahat semula nama negara yang pernah menggegar LTdL sejak awal penganjurannya.
Bardiani bukan nama asing di pentas LTdL apabila membuat penampilan sulung pada 1999 menerusi Navigare-Gaerne sebelum melalui era Scrigno, Ceramica, Panaria-Fiordo, CSF Group, Colnago CSF, VF Group dan Green Project.Malah, ‘kereta api oren’ pernah menjadi mimpi ngeri pelumba lain apabila Graeme Brown menguasai hampir semua pecutan penamat pada LTdL2005, namun kegemilangan itu semakin pudar sejak beberapa edisi kebelakangan ini.
Pasukan berpangkalan di Reggio Emilia itu sekadar menduduki tangga keempat keseluruhan klasifikasi berpasukan pada LTdL25 selepas berada di tempat ke-10 pada 2024 dan ketujuh pada 2023.
Lebih menarik, kali terakhir pasukan profesional Itali menjulang klasifikasi berpasukan keseluruhan adalah Wilier Triestina-Selle Italia pada 2018 yang kini dikenali sebagai Vini-Zabu.
Bardiani mempertaruhkan Luca Covili, Santiago Cruz Martinez, Martin Herreno, Andrea Montagner, Manuel Tarozzi dan Marco Manenti sebagai enam senjata utama, manakala Filippo Cettolin, Santiago Ferraro dan Matteo Turconi disenaraikan sebagai pelumba simpanan.
Covili, 29, sekali lagi menjadi taruhan utama selepas menduduki tempat ketujuh keseluruhan LTdL25, manakala Tarozzi, 28, hadir dengan memori manis selepas menjuarai Peringkat 6 LTdL24 di Kulai.
Dua pelumba muda kelahiran Colombia, Martinez, 20, dan Herreno, 19, turut kembali untuk menguji kaki di laluan pendakian, sementara Montagner menjadi sandaran di laluan landai dan Manenti pula perlu membuktikan kecergasan selepas mengalami patah tulang jari dalam kemalangan di PostNord Tour of Denmark, Julai lalu.
COO Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal, percaya Bardiani masih memiliki kualiti untuk mencuri tumpuan apabila LTdL26 bakal menguji peloton dengan pendakian Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands sepanjang 1,285.5 kilometer perlumbaan.