BUNGA Raya Wanita Bawah 18 Tahun (B-18) membuktikan tubuh kecil bukan penghalang untuk berjiwa besar apabila menamatkan saingan Asia Rugby Emirates U18 Sevens 2026 di tempat ketiga di Qingdao, China.
Skuad kendalian Rozliana Ridwan itu bangkit daripada kekecewaan separuh akhir untuk menundukkan Uzbekistan 12-5 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Perjalanan skuad wanita negara cukup meyakinkan apabila melakar kemenangan 38-12 ke atas India dan 19-12 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain tewas tipis 14-15 kepada Hong Kong China di peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, impian ke final terkandas selepas Malaysia tewas 0-22 kepada tuan rumah China dalam aksi separuh akhir Cup sebelum bangkit dengan semangat juang tinggi untuk menewaskan Uzbekistan.
“Walaupun tubuh kecil, tetapi jiwa besar, mereka berjuang sehingga ke akhir demi pasukan dan negara,” kata Rozliana yang menyifatkan pencapaian itu sebagai gambaran semangat juang anak buahnya.
Menurutnya, prestasi keseluruhan pasukan amat membanggakan selepas pemain berjaya mencapai matlamat ditetapkan dengan komitmen tinggi sepanjang kejohanan.
Kejayaan itu bukan sekadar podium, sebaliknya menjadi suntikan penting dalam pembentukan generasi baharu ragbi wanita negara yang berpotensi menggalas cabaran skuad kebangsaan pada masa depan.
Sementara itu, Bunga Raya 7s Lelaki B-18 kendalian Mohd Syahir Asraf Rosli terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas tewas tipis 15-19 kepada China, namun dua kemenangan 24-7 ke atas India dan 22-7 menentang Sri Lanka tetap menjadi bekalan positif dalam misi membina masa depan ragbi negara.