Bukan Semua Penunggang Yamaha RXZ 'Mat Rempit', Ini Perbezaannya

DERUMAN enjin dua lejang yang memecah kesunyian lebuh raya sering mengundang pelbagai persepsi. Ada yang tersenyum melihat nostalgia sebuah jentera legenda. Tidak kurang juga yang terus melabelkan... Itu mesti mat rempit!.

Hakikatnya, persepsi itulah yang sering menimbulkan salah faham.

Insiden kemalangan yang melibatkan puluhan motosikal Yamaha RXZ di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran Jabor baru-baru ini kembali membuka ruang perdebatan masyarakat.

Belum pun siasatan selesai, media sosial dipenuhi pelbagai andaian. Ada yang terus menghukum semua penunggang sebagai mat rempit, seolah-olah jenama motosikal sudah cukup untuk menentukan siapa mereka.

Namun, adakah semua penunggang motosikal yang bergerak dalam konvoi besar itu benar-benar mat rempit?

Jawapannya tidak semudah yang disangka.

Hakikatnya, budaya motosikal jalanan jauh lebih luas daripada gelaran "mat rempit". Ramai pemilik RXZ, 125Z, TZM dan model motosikal lain menyertai konvoi atas dasar minat terhadap jentera, persahabatan dan aktiviti rekreasi.

Mereka bergerak secara berkumpulan, menjelajah pelbagai negeri dan berkongsi minat terhadap motosikal klasik tanpa berniat mencetuskan kekecohan.

Sebaliknya, istilah mat rempit lebih merujuk kepada individu yang menjadikan jalan raya sebagai gelanggang perlumbaan haram.

Aksi seperti berlumba, melakukan 'wheelie', memotong secara berbahaya, melanggar lampu isyarat atau memecut tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain merupakan antara ciri yang sering dikaitkan dengan gejala tersebut.

Lebih membimbangkan jika ada peserta yang mengekalkan kelajuan tinggi, menunggang terlalu rapat, memotong sesuka hati atau gagal mematuhi arahan marshal.

Jalan raya bukan litar perlumbaan.

Perbezaannya bukan terletak pada motosikal yang ditunggang, tetapi pada sikap penunggang itu sendiri.

Insiden di LPT1 Jabor sewajarnya dijadikan pengajaran kepada semua pihak. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tanpa didahului dengan tuduhan atau hukuman daripada masyarakat.

Setiap kemalangan pasti meninggalkan luka, sama ada kepada mangsa, keluarga mahupun rakan-rakan.

Apa yang lebih penting ialah memastikan tragedi seperti ini tidak berulang.

Kerana pada akhirnya, jalan raya bukan medan untuk membuktikan siapa paling berani, paling laju atau paling hebat. Jalan raya ialah ruang yang dikongsi bersama. Setiap perjalanan sepatutnya berakhir dengan selamat, bukan menjadi tajuk berita tragis keesokan harinya.