'Split' hari ini, buru emas Olimpik LA



LANGKAH berani memecahkan gandingan utama beregu lelaki negara dilihat bukan sekadar eksperimen sementara, sebaliknya berpotensi menjadi formula kekal dalam misi memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia memberi ruang secukupnya kepada gandingan baharu untuk membuktikan kemampuan mereka dalam tempoh panjang sebelum keputusan muktamad dibuat.

Dalam percaturan terbaru, Soh Wooi Yik akan digandingkan dengan Man Wei Chong manakala Aaron Chia membentuk kombinasi bersama Tee Kai Wun bermula di beberapa kejohanan terpilih selepas Terbuka Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara.

Menurutnya, BAM tidak boleh lagi terlalu selesa dengan kombinasi sedia ada dan perlu berani melakukan perubahan lebih awal bagi mencari gandingan terbaik menjelang kelayakan Olimpik.


“Ini kita dah bincang dengan jurulatih Rexy Mainaky dan jurulatih Herry Iman Pierngadi), kita kena berani tukar pasangan,” katanya.

Chong Wei berkata, beberapa kejohanan besar seperti Terbuka Jepun, Korea, Denmark dan Perancis akan dijadikan medan ujian bagi menilai keberkesanan kombinasi baharu itu.

Katanya, pendekatan itu lebih praktikal berbanding menunggu sehingga musim kelayakan Olimpik bermula sebelum membuat sebarang percubaan.

"Jangan tunggu saat akhir, tahun depan adalah tahun penting untuk kelayakan Olimpik dan kita kena tengok gandingan mana yang boleh sumbang emas pertama untuk negara,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Aaron-Wooi Yik akan kembali digandingkan bagi menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia kerana sudah layak sebagai pasangan asal.

Chong Wei menegaskan percubaan scratch pair itu bukan keputusan jangka pendek, sebaliknya sebahagian daripada pelan lebih besar untuk mengenal pasti kombinasi paling kompetitif menuju Los Angeles 2028.

Sementara itu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata beliau menyokong sepenuhnya keputusan teknikal barisan jurulatih kerana fokus utama persatuan adalah membentuk pasangan yang mampu menghadiahkan pingat di pentas terbesar dunia.

“Lebih baik cuba sekarang daripada cuba tahun depan masa kelayakan Olimpik dah mula, fokus kita ialah menang pingat di kejohanan besar,” katanya.