PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak akan lagi berkompromi dengan isu disiplin apabila pemain yang gagal mematuhi peraturan selepas diberikan amaran terakhir berdepan risiko disingkirkan daripada skuad kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan disiplin adalah elemen paling penting dalam pembentukan atlet elit dan perlu menjadi asas utama kepada setiap pemain yang mewakili negara.
Menurut legenda badminton negara itu, perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, telah diberi amaran akhir sebelum ini susulan laporan diterima daripada barisan jurulatih mengenai aspek disiplin pemain berkenaan.
“Untuk saya memang... saya dan jawatankuasa BAM selalu katakan, disiplin adalah nombor satu, ia sangat penting untuk atlet kita,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Chong Wei berkata, pengalamannya selama 19 tahun sebagai atlet BAM membuktikan bahawa disiplin memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan dan jangka hayat karier seseorang pemain.
Beliau turut memaklumkan bahawa pendiriannya itu mendapat sokongan penuh daripada Presiden BAM selepas perkara berkenaan dibincangkan di peringkat jawatankuasa dan pengurusan tertinggi persatuan.
Katanya, pemain senior perlu menunjukkan teladan terbaik kerana mereka menjadi rujukan kepada pemain pelapis, junior serta atlet di peringkat negeri yang sentiasa memerhati tingkah laku dan budaya kerja mereka.
“Generasi muda akan tengok pemain senior sekarang... apa sahaja yang senior buat, mereka akan ikut,” ujarnya lagi.
Mengulas tahap keseriusan amaran yang diberikan, Chong Wei menegaskan BAM bersedia mengambil tindakan tegas termasuk menyingkirkan mana-mana pemain yang terus mengulangi kesalahan disiplin.
“Presiden pun sudah cakap, kita memang akan keluarkan mana-mana pemain yang ada masalah disiplin... pemain kena faham disiplin itu bukan sekadar penting, ia segalanya,” katanya.
Dalam masa sama, Chong Wei mempertahankan cadangan mewajibkan pemain kebangsaan tinggal di asrama ABM dengan menyifatkan alasan sesetengah pemain yang mahu tinggal di luar sebagai tidak boleh diterima, sambil menegaskan budaya disiplin yang diamalkan kuasa besar badminton seperti China, Jepun dan Korea Selatan perlu dijadikan penanda aras untuk mengangkat semula prestasi badminton negara.
Dalam pada itu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abd Aziz berkata, isu disiplin pemain telah dibawa ke Mesyuarat Majlis BAM yang bersidang hari ini.
"Ya, salah satu perbincangan utama ialah disiplin. Tindakan akan diambil berdasarkan cadangan Jawatankuasa Prestasi. Contohnya, kita tidak membenarkan pemain bermain dalam kejohanan.
"Kita mahu memberi pengajaran bukan sahaja sebagai hukuman, tetapi peringatan kepada semua, termasuk pemain junior dan senior," tambah Zafrul.