PERSATUAN Badminton Kuala Lumpur (KLBA) menggesa campur tangan segera Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyelesaikan isu ketiadaan pusat latihan tetap yang disifatkan menghalang usaha pembangunan badminton akar umbi di ibu negara.
Presidennya, Datuk Seri Jahaberdeen Mohd Yunos berkata, Kuala Lumpur tidak sepatutnya terus berdepan situasi itu ketika persatuan negeri memainkan peranan penting dalam melahirkan pemain bertaraf kebangsaan dan dunia.
Beliau yang sekali lagi diberi mandat menerajui KLBA bagi penggal 2026-2030 berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan berhubung arena badminton di Cheras yang sebelum ini dijangka dapat digunakan sebagai pusat latihan rasmi persatuan.
"Kami sudah menunggu hampir empat tahun dan sehingga hari ini KLBA masih belum mempunyai gelanggang latihan sendiri walaupun pembangunan pemain negeri adalah asas kepada kekuatan skuad kebangsaan," katanya.
Menurut Jahaberdeen, KLBA berharap Menteri Belia dan Sukan, Menteri Wilayah Persekutuan serta Datuk Bandar Kuala Lumpur dapat turun padang dan memastikan pembangunan badminton negeri diberikan perhatian sewajarnya.
"Kalau kita serius mahu melihat badminton Malaysia kembali menjadi kuasa dunia, kita perlu memastikan setiap persatuan negeri mempunyai infrastruktur dan ekosistem terbaik untuk melahirkan pemain berkualiti," katanya lagi.
Beliau berkata, ketiadaan pusat latihan memaksa KLBA membentuk model kerjasama dengan 28 kelab badminton swasta yang kini menjadi lokasi latihan pemain di bawah program pembangunan persatuan.
Sementara itu, pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KLBA semalam, majoriti barisan kepimpinan sedia ada dikekalkan bagi penggal 2026-2030 dengan beberapa muka baharu mewakili kelab, ibu bapa, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia turut dipilih menganggotai majlis persatuan.
Jahaberdeen berkata, penyertaan wakil ibu bapa dan kelab dalam kepimpinan KLBA adalah langkah penting bagi mendapatkan maklum balas lebih menyeluruh daripada pihak berkepentingan selain memperkukuhkan pembangunan pemain menerusi program baharu Jejak Juara 2030 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.