TIDAK adil untuk peminat sepak takraw antarabangsa, menghukum skuad Malaysia yang dinobatkan selaku juara Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF 2026, selepas diisytiharkan memenangi acara regu berpasukan semalam (Sabtu) kerana tiada perbuatan 'curang' daripada pemain mahupun pegawai pasukan negara.
Kontroversi yang berlaku pada set kedua membabitkan perlawanan regu ketiga Malaysia-Thailand, berpunca daripada Keputusan kontroversi pengadil asal Singapura, Mohd Radhi Che Mei, pada kedudukan 14-13.
Thailand yang Ketika itu memburu mata kemenangan untuk mengheret perlawanan ke rubber set, mendakwa dinafikan hak mereka selepas perlawanan dihentikan Mohd Radhi yang memutuskan kaki seorang pemain Thailand melebihi garisan sempadan bawah jaring.
Lebih menjadikan perlawanan itu kontroversi, apabila pengadil perlawanan memutuskan mata bertukar 14-14, namun pembantu pengadil memberi kemenangan 15-13 kepada Thailand, sebelum Keputusan itu diubah semula dengan kuasa pengadil utama, menjadi 14-14.
Ia menyebabkan kekecohan berlanjutan lebih 30 minit, apabila jurulatih pasukan Gajah Perang itu tidak membenarkan pemain Thailand meneruskan aksi, sebelum pengadil memutuskan Malaysia memenangi perlawanan akhir terbabit.
Terdahulu, Malaysia meraih kemenangan menerusi regu pertama yang terdiri daripada Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi yang menewaskan trio Thailand 15-9, 13-15, 15-12.
Namun kekalahan Muhammad Haziq Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Farhan Adam tewas 6-15, 10-15 dalam regu kedua menyaksikan perlawanan terikat 1-1 dengan Thailand.
Trio Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Hafizul Hayazi Adnan dan Amirul Zazwan Amir yang turun dalam regu ketiga terlebih dahulu memenangi set pertama 15-13 sebelum drama kontroversi tercetus pada set kedua.
Pengurus Thailand, Auychai Srisuwan mendakwa, keputusan tidak meneruskan permainan dibuat selepas mendapati pengadilan berat sebelah sejak awal perlawanan dan kemuncaknya pada perlawanan penentuan regu ketiga.
"Kami sudah kerugian tiga mata setiap set disebabkan pengadilan yang berat sebelah dan sebab itu kami tidak mahu meneruskan perlawanan," katanya.
Kenyataannya itu bagaimanapun ditempelak pengurus pasukan negara, Datuk Abu Jimi Samat.
“Itu adalah keputusan pengadil berdasarkan kesalahan pemain Thailand yang kakinya melebihi garisan bawah jarring.
“Malah pengadil menolak bantahan dibuat Thailand kerana tiada bantahan untuk garisan bawah jaring, yang ada hanyalah bantahan kaki melebihi jarring (atas), garisan tepi dan bantahan servis.
“Keputusan pengadil itu betul sebenarnya sebab memang kaki pemain Thailand itu memasuki Kawasan Malaysia, saya tengok sendiri (ulangan video),” kata beliau sejurus selepas tamat perlawanan.
Kekecewaan skuad Thailand sememangnya mudah difahami, namun mereka telah membunuh semangat kesukanan dalam sukan yang memiliki aura dan keunikan tersendiri.
Malah Tindakan pemain Thailand, Jakkrit Thinbangbon mempersenda pemain negara tidak patut berlaku, kerana Keputusan pengadil dibuat bukan atas factor pengaruh pemain Malaysia dalam perlawanan terbabit.