Hanya 20 Peratus Prestasi, Juara Dunia Tunduk Kepada Pasangan Tanpa Ranking

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui hanya mempamerkan sekitar 20 peratus kemampuan sebenar mereka, selepas dikejutkan pasangan baharu China tanpa ranking dunia, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin di suku akhir Malaysia Masters 2026 hari ini.

Pasangan nombor empat dunia itu terpaksa menelan kekalahan straight set 18-21, 16-21 dalam tempoh 44 minit pada aksi berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Tang Jie-Ee Wei sebenarnya bermula baik apabila beberapa kali mendahului permainan pada set pertama sebelum momentum berubah sebaik kedudukan terikat 15-15.

Pasangan China yang baru digandingkan bermula di Terbuka Thailand minggu lalu itu kemudian tampil lebih yakin dan agresif untuk mencuri set pertama 21-18.

Situasi hampir sama berulang dalam set kedua apabila Tang Jie-Ee Wei mendahului 7-4 sebelum lawan kembali menyamakan kedudukan 12-12 untuk menguasai baki permainan.

Jia Xuan-Ya Xin yang kini menjadi antara kombinasi baharu sedang diuji China di pentas antarabangsa terus menekan pasangan negara sebelum menutup kemenangan 21-16 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Ee Wei menegaskan kekalahan itu bukan disebabkan mereka sukar membaca corak permainan lawan sebaliknya berpunca daripada kegagalan sendiri mengeluarkan prestasi sebenar.

“Bukan sebab itu, ini salah sendiri, kita sendiri punya salah, bukan sebab scratch pair atau apa-apa, cuma kita tak keluarkan corak permainan kita dan saya rasa 20 peratus pun tak sampai tahap permainan sebenar,” kata Ee Wei.

Ee Wei turut mengakui rehat lebih sebulan daripada kejohanan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap rentak permainan mereka namun enggan menjadikannya alasan terhadap kekalahan itu.

Tang Jie pula menyifatkan kelemahan di fasa serangan menjadi punca utama mereka gagal mengulangi pencapaian terbaik mara ke separuh akhir seperti edisi 2024 meskipun mengakui mereka turun dengan keyakinan tinggi untuk menang.