IMPIAN melihat lebih ramai pelumba wanita negara beraksi di Olimpik Los Angeles 2028 dipacu menerusi suntikan besar apabila Cahya Mata Sarawak Berhad melancarkan pasukan profesional Team Cahya Mata, pada Jumaat.
Pasukan yang diperkenalkan menerusi anak syarikat milik penuh, Cahya Mata Cement Sdn Bhd itu dibarisi Olympian 2024, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bersama Aliana Azizan, Anis Amira Rosidi dan Amber Yong.
Kerjasama selama tiga tahun itu dilihat mampu menjadi pemangkin penting dalam membantu pelumba wanita negara memperoleh lebih banyak pendedahan antarabangsa sekali gus memburu tiket ke Sukan Olimpik 2028.
Nurul Izzah yang kini menghuni ranking ke-14 dunia menjadi sandaran utama pasukan selepas meraih dua emas Kejohanan Asia selain memenangi gangsa acara keirin di Piala Trek Jepun 1 dan 2 baru-baru ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata, pihaknya mahu memainkan peranan membantu atlet negara mencapai potensi sebenar di pentas dunia.
“Mereka bekerja keras dan berlatih siang malam untuk mencapai tahap tertinggi dan kami kagum dengan semangat serta disiplin ditunjukkan setiap pelumba ini,” katanya pada majlis pelancaran Team Cahya Mata di ibu negara.
Menurutnya, sokongan korporat amat penting terutama bagi membantu atlet menyertai kejohanan antarabangsa yang memerlukan kos tinggi termasuk latihan, perjalanan dan peralatan pertandingan.
“Kami bukan hanya mahu melihat seorang atlet layak ke Olimpik tetapi harapan kami adalah keempat-empat pelumba ini mampu berada di Los Angeles 2028,” katanya lagi.
Pada majlis sama, Cahya Mata turut melancarkan Piala Cahya Mata 2026 iaitu kejohanan bola sepak komuniti untuk pemain lelaki bukan profesional sebagai usaha memperkukuhkan pembangunan belia dan budaya hidup sihat menerusi sukan.