KEJAYAAN edisi sulung di Kuching tahun lalu menjadi pencetus kepada perluasan Piala Cahya Mata 2026 ke peringkat kebangsaan dengan tawaran hadiah keseluruhan melebihi RM700,000.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata, kejohanan bola sepak komuniti itu akan berlangsung dari Julai hingga November depan menggunakan format liga membabitkan saingan di setiap negeri.
“Juara setiap negeri akan mara ke pusingan kalah mati sebelum beraksi di pentas akhir di Kuching dan kami yakin format ini mampu mencetuskan keterujaan dalam kalangan pemain akar umbi,” katanya dalam sidang media di ibu negara.
Menurutnya, kejohanan itu dibuka kepada pemain lelaki bukan profesional warga Malaysia berusia 16 hingga 35 tahun sebagai usaha menyediakan platform kompetitif buat bakat tempatan menyerlah.
“Kami mahu memberi peluang kepada lebih ramai pemain akar umbi merasai suasana pertandingan kompetitif selain membantu mereka berkembang dalam persekitaran bola sepak yang sihat,” katanya.
Beliau berkata, setiap pasukan turut dibenarkan mendaftarkan sehingga lima pemain berusia lebih 35 tahun bagi membantu dari aspek pengalaman dan kepimpinan di dalam pasukan.
“Piala Cahya Mata 2026 bukan sekadar mengenai bola sepak kerana kami percaya sukan adalah medium paling berkuasa untuk membimbing golongan muda ke arah kehidupan sihat dan bebas dadah,” katanya mengenai kejohanan bertaraf amatur terbabit.
Sulaiman berkata, kejohanan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 11,200 pemain dan pegawai pasukan dari seluruh negara dengan juara kebangsaan membawa pulang RM100,000 manakala juara negeri menerima RM20,000 selain penyertaan dibuka secara percuma kepada semua pasukan bertanding.