Penulis: Norakmar Syatila Zakaria
DUNIA akademik sering kali dilihat sebagai ruang eksklusif di mana segala dapatan kajian serta kepakaran teknikal hanya berlegar di dalam jurnal jurnal ilmiah yang sukar dihadam oleh masyarakat awam.
Namun satu anjakan paradigma yang signifikan telah berlaku baru-baru ini melalui penganjuran 'Bengkel Asas Penulisan Akhbar' secara dalam talian yang diterajui oleh pakar media berpengalaman Profesor Madya Dr. Wan Hartini Wan Zainodin.
Bengkel intensif yang berlangsung pada 19 Mei 2026 ini bukan sekadar satu sesi perkongsian ilmu biasa sebaliknya ia merupakan sebuah platform transformasi yang berjaya menterjemah bahasa akademik yang kaku kepada naratif media yang bertenaga dan mudah difahami. Program ini dilihat sebagai jambatan utama bagi memastikan ilmu kepakaran dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat jelata melalui medium akhbar arus perdana.

Profesor Madya Dr Wan Hartini Wan Zainodin
Peserta bengkel yang terdiri daripada kalangan pensyarah universiti serta pentadbir telah didedahkan dengan teknik penulisan yang strategik bagi memastikan artikel mereka mempunyai nilai berita yang tinggi.
Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk melahirkan lebih ramai penulis dalam kalangan pakar yang mampu memberikan ulasan kritikal terhadap isu isu semasa berdasarkan fakta yang sahih.
Dalam era ledakan maklumat yang sering kali dicemari dengan berita palsu serta maklumat perubatan yang mengelirukan kehadiran artikel daripada bidang kepakaran di dada akhbar adalah sangat kritikal. Pensyarah serta pentadbir memikul tanggungjawab sosial yang besar untuk membetulkan salah faham masyarakat melalui penulisan yang berwibawa dan berpijak di bumi nyata.
Sepanjang bengkel yang berlangsung bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang ini, peserta telah dibimbing melalui enam modul yang sangat komprehensif bermula daripada asas penulisan artikel kepakaran sehinggalah kepada klinik penulisan yang lebih mendalam.
Modul yang paling mencabar namun menarik minat peserta adalah teknik menukar bahasa akademik kepada bahasa media yang lebih santai tanpa mengorbankan fakta saintifik. Keupayaan untuk meringkaskan jargon akademik yang kadangkala kompleks kepada istilah yang lebih mesra pengguna merupakan kunci utama kejayaan seorang penulis pakar di media massa.
Kejayaan penganjuran bengkel ini terbukti apabila para peserta berjaya menghasilkan artikel yang berkualiti tinggi yang menyentuh pelbagai isu kritikal seperti kesihatan mental pemulihan strok adab kekeluargaan serta kelestarian ekonomi desa. Melalui sesi penulisan terbimbing atau guided writing setiap pakar telah dipandu untuk menyusun struktur artikel yang mempunyai pembukaan yang menarik isi yang padat serta penutup yang memberikan inspirasi kepada pembaca.

Proses penyuntingan dan penghantaran artikel kepada pihak media juga merupakan antara komponen penting yang diajarkan bagi memastikan karya para pakar ini mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk diterbitkan.
Pensyarah dari pelbagai fakulti turut mengakui bahawa penulisan di akhbar memberikan kepuasan yang berbeza berbanding penulisan jurnal kerana impaknya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat setempat.
Apabila sesebuah artikel kepakaran berjaya diterbitkan ia bukan sahaja menaikkan profil peribadi dan institusi penulis tersebut, sebaliknya ia menyumbang kepada peningkatan tahap literasi maklumat dalam kalangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Bengkel ini secara tidak langsung memperkasakan peranan ahli akademik sebagai intelektual awam yang tidak hanya berkurung di dalam bilik kuliah.
Selain daripada aspek teknikal bengkel ini turut menekankan kepentingan etika penulisan dan tanggungjawab moral seorang penulis kepakaran.
Dalam pada itu, Dr Wan Hartini mengingatkan bahawa setiap baris ayat yang ditulis di akhbar mempunyai kuasa untuk membentuk persepsi masyarakat dan oleh itu ketepatan fakta tidak boleh dikompromi sama sekali.
Keberanian para pakar perubatan untuk tampil bersuara dalam isu-isu sensitif dengan cara yang berhemah dan berfakta adalah satu sumbangan besar kepada pembinaan negara bangsa.
Melalui bimbingan yang sistematik bengkel ini telah berjaya meruntuhkan tembok ketakutan yang sering menghantui ahli akademik untuk berhadapan dengan dunia media yang dinamik dan serba pantas.

Melihat kepada maklum balas yang sangat positif daripada para peserta penganjuran bengkel sebegini seharusnya dijadikan agenda berkala bagi setiap institusi pendidikan dan perubatan di negara kita. Inisiatif Evolusi Dekad yang dibawa oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini merupakan satu contoh terbaik bagaimana universiti dapat memainkan peranan aktif dalam mendemokrasikan ilmu pengetahuan untuk kegunaan awam. Transformasi ini membuktikan bahawa pakar-pakar kita sebenarnya mempunyai bakat yang besar dalam penulisan kreatif asalkan mereka diberikan panduan yang betul oleh mentor yang berpengalaman. Sebagai kesimpulan, artikel- artikel yang dihasilkan daripada bidang kepakaran ini bakal menjadi rujukan penting kepada masyarakat dalam mendepani pelbagai cabaran hidup di abad ke-21 ini. Kita mengharapkan agar selepas ini lebih banyak kolaborasi antara ahli akademik pengamal perubatan dan pihak media dapat dijalinkan bagi memastikan suara kebenaran dan ilmu sentiasa mendapat tempat yang utama di hati pembaca. Malaysia yang sejahtera adalah Malaysia yang rakyatnya dibimbing oleh maklumat yang benar dan pakar-pakar yang sedia berbakti melalui mata pena demi kemajuan nusa dan bangsa.
Penulis adalah Pegawai Eksekutif Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu , UiTM Shah Alam




