FILEM aksi rali tempatan, TERBANG tampil membawa kisah penuh adrenalin, emosi dan semangat kebangkitan menerusi perjalanan seorang pelumba yang berusaha bangkit selepas tragedi hitam menghantui hidupnya.
Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama EJJ Films, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan Aventure Space, filem itu mengetengahkan dunia perlumbaan rali yang sarat dengan cabaran, risiko serta pengorbanan.
TERBANG mengisahkan Ajeet, seorang pelumba rali yang meninggalkan dunia perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan tragis. Kehidupannya berubah apabila dia memilih untuk mencari ketenangan bersama isterinya, Lisa. Namun, takdir membawanya kembali ke trek perlumbaan bersama pasukan PERT Malaysia demi menebus masa lalu dan membuktikan kemampuannya di pentas dunia.
Selain mengetengahkan aksi perlumbaan mendebarkan, filem itu turut membawa mesej mengenai ketahanan diri, keberanian dan semangat untuk bangkit semula selepas kegagalan.
Dalam usaha perkukuhkan lagi pengalaman penonton, STING tampil sebagai rakan strategik dengan membawakan pendekatan penceritaan yang lebih dekat dengan jiwa anak muda dan pencinta aksi.
Naib Presiden Pemasaran Etika Amy Gan berkata, TERBANG bukan sekadar filem aksi, tetapi sebuah kisah inspirasi yang menggambarkan perjuangan menghadapi cabaran hidup.
“TERBANG membawa mesej tentang keberanian, daya tahan dan semangat untuk terus bangkit. Nilai tersebut sangat dekat dengan identiti STING,” katanya.
Kolaborasi tersebut turut bakal menampilkan kandungan digital eksklusif, aktiviti bersama peminat serta kempen media sosial yang berteraskan tema kebangkitan dan semangat juang.
TERBANG dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara tahun ini.