Azizulhasni simpan ‘jentera Paris’, buru emas Komanwel dan Asia

DATUK Azizulhasni Awang ternyata belum membuka sepenuhnya ‘senjata’ terbaiknya apabila masih menyimpan basikal WX-R Vorteq edisi Olimpik Paris 2024 khas untuk dua pentas utama hujung tahun ini.

Legenda trek negara itu mengakui dia sengaja menggunakan basikal lama (Olimpik Tokyo) pada siri Piala Dunia Trek UCI musim ini, demi memastikan jentera baharu berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Azizulhasni berkata, ramai peminat mula menyedari dia masih mengerah basikal edisi Olimpik Tokyo 2020 yang tampil dengan warna hitam sepanjang kempen musim ini.

Menurutnya, dia sebenarnya masih memiliki model Paris 2024 namun memilih untuk tidak menggunakannya lebih awal kerana mahu memberi fokus kepada kejohanan yang benar-benar penting.

“Ya, saya menggunakan basikal lama untuk Piala Dunia dan saya masih ada model Paris 2024 tetapi saya memilih untuk menyimpannya,” katanya, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, dia hanya mempunyai satu basikal utama dan satu simpanan daripada edisi Paris 2024 menyebabkan kedua-duanya perlu dijaga rapi sebelum digunakan di Glasgow serta Aichi-Nagoya.

Basikal Paris 2024 itu tampil dengan identiti hitam jingga selain menerima beberapa naik taraf teknologi berbanding model Tokyo yang sebelum ini menjadi taruhan utama jaguh negara berkenaan.

Malah, pembangunan basikal berprestasi tinggi itu menelan kos RM7.5 juta menerusi pembiayaan Institut Sukan Negara dengan setiap unit dianggarkan bernilai RM385,000 ketika diperkenalkan.

Walaupun masih menggunakan model lama, Azizulhasni tetap membuktikan statusnya belum pudar apabila mengejutkan generasi baharu trek dunia dengan meraih dua emas keirin dan dua gangsa pecut individu musim ini.

Kejayaan menewaskan nama besar seperti Matthew Richardson dan Harrie Lavreysen sekali gus memberi bayangan bahawa jaguh berusia 38 tahun itu masih belum selesai mencipta magis menjelang kemungkinan penampilan terakhirnya selepas Sukan Asia Oktober nanti.