Tang Jie-Ee Wei mahu cipta impak

BEREGU campuran nombor empat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mahu menampilkan prestasi terbaik di kejohanan bertaraf Super 500, Masters Malaysia 2026, selepas tidak bergandingan pada edisi lalu.

Semi finalis 2024 itu, mahu cuba mengekang tekanan beraksi di gelanggang sendiri, selain memegang status juara dunia yang menghadirkan jangkaan dan harapan tinggi peminat terhadap mereka.

Ee Wei berkata, mereka tetap bersyukur kerana masih berpeluang beraksi di hadapan peminat tempatan pada aksi 19-24 Mei depan.

"Selepas muncul juara dunia, sudah tentu ada tekanan tambahan, apa lagi beraksi di hadapan peminat sendiri.

"Tapi itu semua pelajaran yang perlu kami hadapi untuk menjadi pemain yang baik dalam mengharungi perjalanan panjang.
"Sudah tentu mahu mengatasinya, kami lakukan dalam sesi latihan setiap hari," kata Ee Wei pada sidang media kejohanan Badminton Masters Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada Rabu.

Pada tahun lalu, gandingan itu berpisah buat sementara dan Ee Wei bergandingan dengan Loo Bing Kun dan kandas di pusingan kedua.

Sementara Tang Jie pula berpasangan dengan Chan Wen Tse, kandas di pusingan pertama.

Untuk musim 2026, Tang Jie-Ee Wei sudah merangkul satu kejuaraan di Masters Indonesia selain melangkah ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 1,000,  iaitu Terbuka Malaysia dan Kejohanan Badminton Asia.