BAM tak melatah, kekal hala tuju LA2028

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak melatah dengan prestasi skuad lelaki negara di Piala Thomas 2026, sebaliknya kekal tenang memacu hala tuju jangka panjang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Badan induk badminton negara itu menegaskan semua pihak tidak wajar bertindak terburu-buru susulan kegagalan skuad negara mencapai sasaran juara di Horsens, Denmark minggu lalu.

Malaysia terus kempunan menamatkan kemarau 34 tahun apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas 0-3 kepada China.Sebagai rekod, kali terakhir trofi berprestij itu dijulang adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata kegagalan itu perlu dilihat dalam konteks lebih besar membabitkan pelan pembangunan ke arah LA2028.
Menurutnya, setiap kejohanan termasuk Piala Thomas dan Sukan Asia 2026 di Jepun merupakan penanda aras penting dalam peta hala tuju pasukan.

“Kita ada roadmap ke LA2028 dengan beberapa milestone dan tidak semua sasaran akan dicapai, jadi kita perlu faham punca kegagalan tanpa reaksi melulu,” katanya pada sidang media Kejohanan Masters Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Beliau berkata, selagi skuad berada di landasan yang ditetapkan dan masih mencapai sasaran tertentu, pembangunan pasukan kekal di arah yang betul.

Terdahulu, Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melancarkan semula program Road to Thomas Cup 2026 sebagai sebahagian pelan strategik Tangkis 2030.