LEGENDA berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila mengejutkan juara dunia, Harrie Lavreysen untuk merangkul emas acara keirin pada Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.
Pelumba kelahiran Dungun itu bermula di posisi kelima di belakang derny dalam perlumbaan akhir, tenang berkayuh di belakang Lavreysen yang menjadi pilihan utama.
Azizulhasni kemudian bijak mengatur strategi apabila membiarkan pelumba Belanda itu melakukan kerja keras mengejar kelompok hadapan sambil mengekori rapat di belakangnya.
Pada saat genting, The Pocket Rocketman memecut keluar di antara Lavreysen dan pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul, hanya beberapa meter sebelum garisan penamat untuk mencipta kemenangan dramatik.
Kejayaan itu mencetuskan sorakan gemuruh lebih 3,000 penonton yang memenuhi Velodrom Nasional apabila Azizulhasni meraikannya dengan aksi ‘mini-wheelie’ ikoniknya.
Lavreysen terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala Paul melengkapkan podium di tempat ketiga.Lebih manis, ini emas kedua keirin dari Azizulhasni musim ini selepas kejayaan di Perth bulan lalu.
Aksi di Nilai turut menyaksikan pelumba Britain, Emma Finucane menewaskan juara dunia, Hetty van de Wouw 2-0 dalam final pecut wanita, dengan tumpuan seterusnya terarah kepada Azizulhasni dan Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut lelaki esok, serta Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid dalam keirin wanita.




